suria

Malaysia, Thailand Berentap Di Final Siri Super Istaf Esok

Pemain negara (jersi kuning), Khairol Zaman membuat rejaman sambil dihadang oleh pemain Singapura, Hafiz Nor Izam sempena Kejohanan Sepak Takraw Istaf Super Series di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Sabtu. Pasukan negara menang dengan mata 21-13 21-16. --fotoBERNAMA
MELAKA:  Musuh tradisi sepak takraw, Malaysia dan Thailand, bakal berentap pada perlawanan akhir kategori lelaki Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf Malaysia 2015 di sini, esok.

Kedua-dua pasukan itu berjaya menewaskan lawan masing-masing pada saingan separuh akhir di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, hari ini.

Sokongan padu kira-kira 3,000 penonton memberikan semangat kepada Malaysia untuk bermain cemerlang hingga layak ke perlawanan akhir setelah menewaskan Korea Selatan dengan mata 2-0 (21-11 dan 21-12).

Kepuasan jelas terbayang pada wajah pemain Malaysia apabila dapat menewaskan Korea Selatan, yang menewaskan pasukan kebangsaan pada acara regu Sukan Asia Ke-17 tahun lepas.

Korea Selatan, yang membariskan pemain yang memenangi pingat perak Sukan Asia tahun lepas termasuk tekong Park Hyeon-geun dan killer Im An-soo,  hilang arah apabila serangan mereka terutamanya melalui servis deras Hyeon-geun dapat diserap dengan mudah oleh pasukan negara.


Kapten Malaysia, Farhan Adam yang bertindak sebagai feeder, bermain cemerlang apabila berkali-kali dapat menyambut mudah servis deras pasukan Korea Selatan dan mengumpan kepada killer Hanafiah Dollah bagi membuat libasan penamat cabaran negara itu pada kejohanan ini.

Sementara itu, Thailand menepati ramalan mara ke akhir apabila berjaya menewaskan Singapura dalam satu lagi perlawanan separuh akhir dengan mata 2-0 (21-13 dan 21-13).

Perlawanan itu memperlihat pertembungan dua tekong yang memiliki cara servis berbeza iaitu Siriwat Sakha, tekong Thailand yang terkenal dengan servis kuda deras, dan tekong berpengalaman Singapura, Farhan Amran yang menggunakan servis bercorak taktikal dan placing.

Siriwat bermula gugup apabila gagal melakukan servis dengan kemas sehingga Singapura, pada satu masa mengikat kedudukan pada 9-9.
Selain itu, kecemerlangan servis taktikal Farhan yang selalu memerangkap pemain Thailand, menyukarkan pasukan negara gajah putih itu pada awal permainan.

Bagaimanapun dua killer Thailand iaitu Thawisak Thawisak dan Suriyon Suriyon serta Siriwat kembali mendapat rentak pada penghujung set pertama untuk memastikan Thailand mengungguli saingan itu dan mengesahkan tiket ke perlawanan akhir.

Perlawanan akhir esok bagaikan perlawanan ulangan bagi Malaysia dan Thailand dalam kejohanan itu.

Kedua-dua pasukan itu pernah melakukan perhitungan dalam perlawanan akhir kategori sama di Nay Pyi Taw, Myanmar tahun lepas yang memihak kepada Thailand dalam saingan sengit 2-1 (20-22, 21-18 dan 21-23).

Istaf Super Siri, Thailand, Malaysia

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Super

Artikel Berikut

Artikel Lain