suria

Tugas Berat Menanti Azman Adnan

Azman Adnan.

PUTRAJAYA: Ketua jurulatih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Azman Adnan mengakui tugas berat menanti beliau apabila skuad bimbingannya yang beraksi dalam Liga Super 2015, disasarkan sekurang-kurangnya menjulang satu trofi.

Azman berkata, bagi mengurangkan tekanan terhadap beliau dan anak buahnya, beliau mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan kepada satu demi satu perlawanan yang bakal dihadapi skuad 'The Cops' musim ini.

"Terus terang saya katakan, bukan mudah tanggungjawab saya. Saya lebih mengambil pendekatan menumpukan kepada perlawanan demi perlawanan dan berusaha mencari kemenangan, kejayaan dan kejutan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran dan memperkenalkan pasukan bola sepak PDRM bagi musim 2015, di sini Isnin.

Walaupun tekanan diberikan oleh penaung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak PDRM untuk melihat kecemerlangan pasukan berkenaan seperti musim lepas, Azman berkata beliau menjadikan 'cabaran' itu sebagai satu suntikan semangat untuk beliau dan skuad bimbingannya memberikan yang terbaik.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan barisan pemain yang menyarung jersi The Cops tahun ini, yang turut dibarisi dua pemain kebangsaan, empat pemain import dan beberapa pemain hebat lain.

Katanya, skuad itu telah mempamerkan keserasian ketika menyertai kejohanan Piala People 2015 di Maldivers baru-baru ini, dengan muncul juara.

"Pemain mesti mempunyai mental dan fizikal yang kuat untuk menentang pemain-pemain elit dalam saingan Liga Super 2015. Kita tidak mempunyai penyokong ultras sebab kita ini pasukan biasa-biasa saja," katanya.

PDRM muncul juara Liga Perdana 2014, sekali gus layak beraksi dalam saingan Liga Super 2015.

Sementara itu, ketua pasukan PDRM yang baharu Mohamad Muslim Ahmad berkata, beliau amat mengharapkan komitmen daripada semua pemain untuk memastikan sasaran sekurang-kurangnya satu piala dibawa pulang dapat direalisasikan.

"Bagi saya, itu semua (kejayaan meraih piala) akan datang kemudian. Yang penting semua pemain bersatu hati dan bagi komitmen yang penuh barulah kita boleh capai sesuatu," katanya.

PDRM bakal berdepan Lions XII dalam perlawanan pertama saingan Liga Super 2015 pada 7 Februari di Stadium Shah Alam, yang juga venue perlawanan bagi skuad berkenaan musim ini.

Azman Adnan

Artikel Sebelum

Artikel Lain