suria

Zaiton Othman Dilantik Sebagai Pesuruhjaya Sukan Baharu

Zaiton Othman.
PETALING JAYA: BEKAS ratu trek negara, Datuk Zaiton Othman dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan berkuat kuasa 1 Februari ini.

 

Zaiton,55, menjadi wanita pertama untuk menyandang jawatan ini bagi menggantikan Ahmad Shapawi yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) bermula awal bulan ini.

Nama Zaiton dalam dunia sukan memang tidak asing lagi. Beliau kini merupakan Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet MSN dan pernah menggegar dunia olahraga negara suatu ketika dahulu.

Rekod kebangsaan dalam acara heptathlon yang dicapai pada Sukan SEA Manila pada tahun 1981 masih lagi tidak diusik sehingga hari ini.

Semasa Sukan SEA ini juga beliau telah memenangi tiga pingat emas dan mencipta rekod terbaik Asia dalam acara larian berganti-ganti 4x400m.

Beliau juga pernah dianugerahkan Atlet Wanita Kebangsaan pada tahun 1982.

Selepas bersara sebagai atlet, beliau memulakan perkhidmatan di MSN sebagai Pegawai Sukan bermula September 1989 selain pernah menjadi guru.

Beliau memegang ijazah sarjana muda (Bachelors) dalam Physical Education daripada Universiti Pertanian Malaysia dan ijazah sarjana (Masters) dalam Applied Sports Psychology daripada San Diego State University, California pernah berkhidmat sebagai Pegawai Psikologi Sukan di Institut Sukan Negara (ISN) dari tahun 1992 hingga 2000 sebelum kembali ke MSN.

Perlantikan tersebut telah diumumkan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin melalui kenyataan media pada Selasa petang.

Artikel Berikut

Artikel Lain