suria

Pulau Pinang Jangka Muktamadkan Senarai Kesebelasan Utama Hujung Bulan Ini

Mohd Azizudin Mohd Shariff.

GEORGE TOWN: Skuad Harimau Kumbang masih menguji keserasian pemain sebelum memuktamadkan kesebelasan utama untuk saingan Liga Perdana musim ini yang bakal membuka tirai bulan depan. 

Bakal berdepan Kuantan FA di Stadium Bandaraya di sini 6 Februari, pasukan pulau mutiara itu dijangka menurunkan keempat-empat pemain import - Reinaldo Rodrigues de Oliveira Lobo; Alberto Concalus Da Costa; dan Hilton Mauro Moreira dari Brazil; serta Lee Gil Hoon (Korea Selatan) - dalam kesebelasan utamanya pada perlawanan pertama itu.

Berdasarkan prestasi lima perlawanan persahabatan pramusim yang dilalui sehingga kini, Pengurus Pasukan Mohd Azizudin Mohd Shariff yakin pasukan bimbingan jurulatih Brazil, Jackson Ferreira Tiago itu mampu memberi saingan dalam liga musim ini.

"Setakat ini kami telah mengharung lima siri perlawanan persahabatan pramusim 2015 sebagai persediaan. Ada dua lagi pertemuan iaitu dengan Selangor dan Kelantan pada 16 dan 23 Jan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam perlawanan persahabatan itu, Pulau Pinang menewaskan Sime Darby FC 3-0; kalah kepada Kedah 0-1, seri 1-1 dengan Johor Darul Takzim (JDT) dan seri tanpa jaringan dengan Perak dan Perlis.

Sementara itu, Tiago yang merupakan ketua jurulatih berkata beliau masih dalam peringkat menguji keserasian antara anak buahnya namun menaruh keyakinan tinggi dengan potensi yang ada pada mereka dalam misi memburu slot Liga Super tahun depan.

Beliau berpendapat beberapa perubahan perlu dibuat terutama dalam strategi serangan dan aspek pertahanan dan melihat 15 pemainnya telah bersedia disenarai pendek untuk kesebelasan utama.

"Di kalangan mereka, terdapat kira-kira sembilan pemain yang perlu kita gilap lagi untuk menjadikan mereka lebih baik...kita bukan sahaja ada 11 pemain, tetapi 15 (pemain) yang saya rasa sudah bersedia untuk bersaing antara satu sama lain.

"Saya juga sudah ada seorang (kapten) di fikiran saya sekarang. Anda selalu lihat saya selalu meletakkan pemain berbeza untuk itu dalam perlawanan sebelum ini...saya perlu memilih seorang, tetapi ia terlalu awal (untuk diumumkan)," kata bekas jurulatih pasukan Persipura Jayapuran, Indonesia itu.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai kapten pasukan Harimau Kumbang itu ialah pemain import dari Korea Selatan Lee Gil Hoon, Mohd Faiz Subri dan Mat Saiful Mohamad.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain