suria

Skuad Renang Raih Lima Pingat Emas

Atlet renang Malaysia Yap Shaun Khai (kanan) menerima ucapan tahniah dari rakannya Allwee Tan selepas mendapat tempat pertama dalam acara akhir 50 meter kuak kupu-kupu lelaki akhir di kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 di Palembang, Sabtu. Foto BERNAMA

PALEMBANG: Skuad renang negara menceriakan kontinjen Malaysia pada Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 apabila meraih lima pingat emas di Stadium Akuatik Jakabaring, di sini Sabtu.

Pencapaian itu sekali gus mencerahkan peluang kontinjen negara untuk mencapai sasaran 40 pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

Berbaki sehari sebelum temasya itu melabuhkan tirai pada Ahad, Malaysia sudah mengumpul 38 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Dalam aksi pada Sabtu, perenang negara Kevin Yeap meraih pingat emas dalam acara 1500m gaya bebas lelaki, sekali gus memperbaharui rekodnya sendiri apabila mencatat 15 minit 53.67 saat, menewaskan rakan sepasukan, Vernon Lee (16:14.79s) dan Jessie Khing Lacuna dari Filipina (16:47.15s). 

Rekod Kevin sebelum ini, ialah 16:34.84s yang dilakukan pada AUG 2012 di Laos.

Kevin berkata, beliau berpuas hati dapat memperbaharui rekod kejohanan, namun terkilan kerana sekadar menyumbangkan satu pingat emas pada temasya kali ini, berbanding lima emas di Laos, dua tahun lepas.

"Saya berpuas hati dapat memperbaharui rekod kejohanan. Selepas beraksi di Sukan Asia baru-baru ini saya berehat seketika dan kembali bertanding di sini tetapi saya hanya dapat meraih satu pingat emas berbanding di Laos, saya menang lima acara," katanya.

Turut memperbaharui rekod kejohanan dan meraih pingat emas ialah Chui Lai Kwan dengan catatan 57.97s dalam acara 100m gaya bebas wanita. Lai Kwan memperbaharui rekod perenang Indonesia, Patricia Yosita Hapsari 58.08s pada AUG 2012.

Pingat perak dimenangi oleh Hannah Dato dari Filipina (58.06s) manakala pingat gangsa milik Sriphanomthorn Banjaporn dari Thailand (58.12s).

Perenang berpengalaman Khoo Cai Lin pula meraih pingat emas dalam acara 200m kuak kupu-kupu dengan catatan 18.88 saat, manakala pingat perak dimenangi Raina Grahana dari Indonesia (2:19.54s) dan Hannah Dato meraih pingat gangsa (2:22.62s) untuk Filipina.

Seorang lagi perenang elit negara, Shaun Yap turut meraih emas dalam acara 50 meter kuak dada dengan catatan 29.12s menewaskan Dennis Tiwa dari Indonesia dengan masa 29.29s sementara Ketin Nuttapong dari Thailand meraih gangsa dengan catatan 29.49s.

Erika Kong pula cemerlang dalam acara 50m kuak dada wanita dengan catatan 32.93, menewaskan dua perenang tuan rumah, Margaretha Kreta Pradani (34.34s) dan Christina Sugiono (34.68s). 

Kuartet 4x100m negara yang diwakili Tern Jian Han, Shaun Yap, Jie Chan dan Daniel Bego pula sekadar meraih pingat gangsa.

Secara keseluruhan, skuad renang negara meraih 14 pingat emas, 13 perak dan lapan  gangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain