suria

Cub Prix: Taufiq Pasang Hajat Naik Podium

Taufiq bersama salah seorang peminat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

DUA keputusan di kelompok lima pelumba terbaik berturut-turut menjadi motivasi kepada Mohd Taufiq Roslan untuk berhadapan cabaran sengit kategori CP130 pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Di sebalik aksi tidak konsisten sejak beralih ke kelas CP130 bermula tahun 2011, pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu menunjukkan peningkatan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di Teluk Intan (Pusingan 7) di tangga keempat dan meraih tempat kelima di Kangar (Pusingan 8) selain turut meraih tempat kelima ketika pusingan pembukaan di Batu Kawan. 

Dua keputusan positif tersebut turut melonjakkan kedudukan pelumba kelahiran Melaka itu ke tangga kelapan keseluruhan ketika ini dengan 58 mata, berkongsi pungutan mata bersama pelumba Givi Honda Yuzy Racing, Sasitharen Sukumaran.

Kedudukan keseluruhan ketika ini diteraju oleh rakan sepasukan Sasi, Mohd Zaqhwan Zaidi yng telah mengumpul 145 mata manakala rakan sepasukan Taufiq, Ahmad Fazli Sham berada di kedudukan kelima dengan 83 mata.

"Saya bergelut dengan pelbagai kesukaran dalam usaha untuk menempatkan diri di kelompok depan, jadi dua keputusan di kelompok lima pelumba terbaik pada dua pusingan berturut-turut merupakan sesuatu yang cukup positif kepada kami sepasukan," jelas Taufiq.

"Meskipun masih belum berjaya meraih podium, namun setidak-tidaknya ia menjadi motivasi kepada kami untuk beraksi lebih kompetitif pada minggu ini dan mudah-mudahan dapat mencapai hajat menaiki podium pada minggu ini," tambahnya.

Mengulas tentang kesukaran yang dihadapi pada musim ini, Taufiq yang kali terakhir meraih podium sewaktu perlumbaan di Sepang pada musim lepas menjelaskan,

"Pasukan kami melakukan banyak perubahan pada musim ini, sama ada dari segi alat ganti mahupun dari segi pelarasan jentera. Kami mahu menjadi lebih kompetitif dan mengembalikan kegemilangan Maju Motor sebelum ini dan setakat ini, Fazli dilihat cepat menyesuaikan diri dengan perubahan yang dilakukan," jelasnya.

Mengulas lanjut, "Saya pula memerlukan sedikit masa kerana ada kala saya dapat beraksi dengan baik dan ada kalanya saya gagal meraih keputusan memuaskan.

"Namun secara keseluruhan kami telah mencapai tahap yang cukup baik terutama selepas cuti rehat separuh musim. Meskipun masih ada jurang diantara saya dan pelumba di hadapan, namun kami telah menunjukkan peningkatan, termasuk juga diri saya sendiri.

"Kami perlu meneruskan apa yang kami lakukan ketika ini dan mudah-mudahan ia dapat menamatkan penantian podium saya sejak tahun lepas pada baki dua pusingan terakhir ini," jelasnya.

Artikel Lain