suria

Malaysia Tambah Dua Perak, Satu Gangsa Hari Kedua Terjun Grand Prix FINA

Aksi Penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman (kanan) dan Ooi Tze Liang dalam acara terjun 3meter seirama lelaki pada Pertandingan Fina Diving Grand Prix 2014 di sini, Sabtu. -Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara memenangi dua lagi pingat perak dan satu gangsa pada hari kedua Kejohanan Terjun Grand Prix Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) 2014 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini, Sabtu.

Dua pingat perak itu disumbangkan Ooi Tze Liang dan Ahmad Amsyar Azman dalam acara 3m papan anjal seirama dengan catatan 414.45 mata dan menerusi gandingan Ooi dan Chew Yi Wei dalam 10m platform seirama (386.55 mata).

Pada hari pertama kejohanan semalam, Malaysia meraih satu pingat perak dan satu gangsa, masing-masing menerusi Ooi dan Pandelela Rinong dalam acara 3m papan anjal individu lelaki dan 10m platform individu wanita.

Pada aksi hari ini, Li Shixin dan He Chao dari China mempamerkan terjunan mantap untuk menggondol emas dalam acara 3m papan anjal seirama menerusi kutipan 441.54 mata manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Colombia, Sebastian Morales dan Sebastian Villa dengan catatan 399.87 mata.

Negara 'Tembok Besar' itu turut menguasai acara 10m platform seirama lelaki menerusi gandingan Zhang Yanquan dan Chen Aisen yang memungut 474.30 mata bagi meraih emas manakala wakil dari Amerika Syarikat, Zach Cooper dan Tanner Wilfong sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa dengan catatan 348.57 mata.

Pingat gangsa tunggal negara disumbang oleh penerjun elit wanita negara, Cheong Jun Hoong dalam acara 3m papan anjal individu selepas mengutip 339.00 mata manakala seorang lagi wakil negara, Ng Yan Yee berada di tangga keempat dengan mengumpul 309.70 mata.

Dua penerjun dari China, Wang Han dan Liu Huixia memastikan penguasaan selepas menyapu pingat emas dan perak dalam acara itu dengan catatan 362.50 mata dan 351.60 mata.

Ooi yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian tiga pingat perak yang diraihnya pada kejohanan berkenaan.
 
"Saya akui agak kepenatan selepas menyertai tiga acara bagi dua hari berturut-turut dan saya gembira dengan keputusan yang diraih pada kejohanan ini," kata atlet kelahiran Pulau Pinang itu.

Berkongsi nada yang sama adalah Chew yang gembira dengan kehadiran anggota keluarga yang memberikan sokongan padu kepadanya pada aksi hari ini.

"Saya begitu teruja dengan kehadiran anggota keluarga yang memberi perangsang kepada saya untuk memberikan persembahan terbaik namun terdapat beberapa aspek yang perlu saya perbaiki bagi menghadapi beberapa kejohanan selepas ini," kata anak jati Klang, Selangor itu.

Kejohanan selama tiga hari itu yang bermula semalam akan melabuhkan tirai esok melibatkan tiga acara akhir iaitu 3m papan anjal seirama wanita, 10m platform individu lelaki dan 10m platform seirama wanita.

Sebanyak sembilan negara menyertai kejohanan kelolaan FINA berkenaan iaitu Georgia, Cuba, China, Amerika Syarikat, Hong Kong, Kanada, Australia, Colombia dan Malaysia selaku tuan rumah pusingan terakhir.

Kejohanan berkenaan diadakan sebanyak lapan pusingan bermula di Madrid, Sepanyol pada Januari; Rostock, Jerman (Februari); Gatineau, Kanada; San Juan, Puerto Rico dan Guanajuato, Mexico (ketiga-ketiga pada Mei).

Bandar Bolzano di Itali menjadi tuan rumah pusingan keenam pada Ogos, diikuti Singapura dan Malaysia pada Oktober.

Fina Grand Prix, Ooi Tze Liang

Artikel Lain