suria

Positif Doping: Dua Atlet Angkat Berat Digantung Dua Tahun

DUA atlet angkat berat di SUKMA, Jelinie Empera dan Siti Fazera Ishak (gambar kecil), dikenakan hukuman gantung selama dua tahun akibat penggunaan bahan terlarang.
SEPANG: Belum pun reda kes doping membabitkan 'ikon' sukan negara, dua atlet angkat berat di Sukan Malaysia (SUKMA) termasuk Olahragawati, Jelinie Empera dan Siti Fazera Ishak, pada Sabtu dikenakan hukuman gantung selama dua tahun akibat penggunaan bahan terlarang.

Kedua-duanya yang beraksi di SUKMA Perlis, Mei dan Jun tahun ini didapati gagal memberikan penjelasan munasabah selepas positif dalam penggunaan bahan terlarang kepada panel rayuan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (MWF), pada Sabtu. 

Selain penggantungan, atlet Sarawak, Jelinie yang memenangi dua emas turut diarahkan memulangkan kembali pingat dan wang kemenangan RM3,000 dan RM12,000 yang dimenanginya daripada penganjur dan Majlis Sukan Negeri Sarawak dan diberi masa sebulan itu menjelaskannya.

Begitupun, Fazera yang juga atlet Perlis tidak memenangi sebarang pingat di temasya itu.

Sebagai tambahan, kedua-duanya turut dikenakan denda AS$5,000 (RM16,395) dengan MWF mengarahkan ia dibayar oleh persatuan angkat berat negeri masing-masing.

Naib Presiden MWF, Ahmad Janius Abdullah berkata kedua-dua atlet gagal memberikan penjelasan yang munasabah supaya hukuman terhadap mereka dapat dikurangkan.

Jelinie dikatakan mengambil ubat akibat haid dan Fazera dikatakan memakan ubat kerana masalah demam.

"Kedua-dua alasan yang mereka berikan tidak boleh diterima. Kami mendapati ia tidak kuat untuk membuat rayuan kepada IWF (Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa)," kata Janius.

Selain Jelinie dan Fazera, pelumba basikal SUKMA Wilayah Persekutuan, Dhia Danial Mohd Kharil turut didapati menggunakan steroid selepas gagal dalam ujian doping. Begitupun, nasib Danial belum ditentukan.


doping, angkat berat, Sukma

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain