suria

F1: Krisis Dalam Pasukan Caterham, Tony Fernandes Diheret Kembali Ke Kancah F1

> Konsortium yang menerajui pasukan F1 Caterham ugut tindakan undang-undang ke atas Tony Fernandes

> Caterham dibeli dari Fernandes dan rakan-rakannya hujung Jun lalu oleh konsortium baru ini

> Mereka dakwa Tony Fernandes enggan pindah milik syer selepas setuju jual kepentingannya

> Tapi Tony Fernandes kata mereka tidak dibayar selepas konsortium itu setuju ambil alih

> Caterham kini berkemungkinan gulung tikar jika tidak diselamatkan

PEMILIK AirAsia dan QPR iaitu kelab bolasepak Liga Perdana Inggeris, Tan Sri Tony Fernandes kini berhadapan dengan prospek perbalahan mengenai hak milik pasukan F1 Caterham selepas konsortium yang mengambil alih kepentingan Caterham daripadanya Jun lalu mengugut mahu menyamannya atas sebab tidak berpegang pada janji asal.

Tony Fernandes dalam reaksi segeranya dalam laman Tweet menegaskan, "jika anda membeli sesuatu anda harus bayar, ia adalah semudah itu."

Fernandes memberi indikasi seolah-olah pemilik baru F1 Caterham tidak membayar apa-apa kepada kumpulannya selepas bersetuju mengambil alih kepentingan saham daripada mereka.

Perbalahan tentang pegangan kepentingan dalam Caterham tidak syak lagi akan meletakkan pasukan itu dalam situasi krisis dan berhadapan dengan kemungkinan terpaksa gulung tikar musim depan.

Caterham telah dibeli daripada Tony Fernandes dan kawan-kawannya hujung Jun lalu oleh konsortium usahawan Switzerland dan Timur Tengah.

Sejak pengambilalihan itu, Caterham berhadapan dengan masalah dalaman yang menyaksikan lebih 30 orang kakitangannya telah mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik baru itu kerana pemberhentian kerja tanpa mengikut peraturan musim lalu.

Kemudian pada Isnin baru-baru ini, pembekal teknologi kepada Caterham, - Caterham Sports Ltd - telah diletakkan di bawah pentadbiran oleh pihak bank.

Sementara itu, pemilik baru Caterham mendakwa Fernandes bersama-sama dua lagi bekas pemilik, gagal bertindak dengan niat yang baik berhubung pemindahan syer kepada mereka.

Jika ini benar, bermakna, konsortium baru itu telah mengurus pasukan F1 Caterham sejak Julai bukan sebagai pemilik yang sah.

Untuk memburukkan lagi keadaan, mereka kini membuat keputusan untuk menarik diri daripada segala bentuk urusan pentadbiran daripada pasukan itu dan kemudian memaklumkan kepada Fernandes dan rakan-rakannya yang dia boleh kembali menguruskan Caterham.

Sehingga Rabu, Caterham kelihatan membuat persediaan untuk baki tiga lagi perlumbaan iaitu GP Amerika, GP Brazil dan GP Abu Dhabi seperti biasa.

Namun begitu, tanpa pasukan pentadbiran yang jelas dan mengambil kira akan fakta bahawa Fernandes tidak mungkin akan dapat kembali dengan serta merta sehingga isu ini diselesaikan secara undang-undang, pasukan ini berhadapan dengan prospek ditamatkan penyertaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada pihak media, konsortium berkenaan berkata;

"Pada 29 Jun 2014, Caterham Enterprises Ltd, Caterham (UK) Ltd dan Sheikh Mohamed Nasarudin (penjual) serta para pemegang syer Caterham yang lain iaitu Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Bin Meranun telah terlibat dengan Perjanjian Penjualan dan Pembelian (SPA) dengan Engavest SA (pembeli) berhubung kepentingan dalam 1Malaysia Racing Team Sdn Bhd/Caterham F1 Team.

"Sejak tarikh persetujuan SPA itu, pihak penjual telah enggan untuk mematuhi dengan tanggungjawab perundangannya iaitu untuk memindahkan syer mereka kepada pihak pembeli.

"Pihak pembeli telah dibiarkan berada dalam situasi yang tidak menyenangkan dengan terpaksa membiayai pasukan F1 Caterham tanpa pegangan kepentingan yang sah ke atas pasukan yang mereka beli itu.

"Ini sama sekali bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pembeli kepada media pada 3 Oktober 2014 yang menyatakan bahawa Fernandes dan kumpulannya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan pasukan F1 Caterham.

"Pada masa yang sama, pentadbiran Caterham Sports Limited kini telah pun dilantik bagi mewakiki Export-Import Bank of Malaysia Berhad (Exim Bank), iaitu kreditor kepada Fernandes dan Kumpulan Caterham. Pihak pembeli tidak ada kaitan dengan Exim Bank.

"Caterham Sports Limited adalah syarikat pembekal kepada pasukan F1 Caterham. Malangnya pelantikan pasukan pentadbir oleh Exim Bank akan meninggalkan kesan ke atas aktiviti pasukan F1 ini.

Sejak pengambilalihan urusan pentadbiran ini, terdapat beberapa kenyataan telah dikeluarkan yang sekaligus menjejaskan pengurusan F1 Caterham.

"Selepas tiga bulan mengendalikan pasukan F1 Caterham secara ikhlas dan jujur, pihak pembeli terpaksa mengambil kira lain-lain opsyen termasuklah menarik diri dari pasukan ini. Pihak guaman telah diminta oleh pihak pembeli menuntut apa jua yang dirasakan perlu kepada semua pihak, termasuklah Fernandes yang kini sebagai pemilik asal akan mengendalikan aktiviti operasi F1 Caterham."

Pengarah pasukan Caterham, Manfredi Ravetto telah mengesahkan yang dia diminta untuk tidak lagi mengendalikan operasi harian pasukan itu. 


Artikel Berikut

Artikel Lain