suria

Arsenal Bangkit Saat Akhir, Juve Tewas

Podolski (kiri) melengkapkan gol kemenangan Arsenal.
ARSENAL bangkit menjaringkan gol kemenangan ke atas Andelecht ketika perlawanan berbaki dua minit untuk mara ke kelompok 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah.

Pasukan bimbingan pengurus Arsene Wenger itu mengatasi Anderlecht 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan D, awal pagi Khamis.

Dua jaringan di hujung perlawanan di antara Arsenal dan Anderlecht itu bukan sekadar membawa kemenangan kepada skuad The Gunners, malah menjadi hadiah bermakna untuk pengurus kelab berkenaan, Arsene yang meraikan hari lahirnya yang ke-65.

Pada minit ke-71, Arsenal kelihatan bagai bersedia dihukum dengan kekalahan kedua di tempat lawan apabila pemain Anderlecht Andy Najar menanduk masuk hantaran bola daripada Praet.

Bagaimanapun, seperti kelaziman Arsenal, kegigihan pasukan itu membolehkan Stadium Constant Vanden Stock bergema dengan sorakan penyokong The Gunners di minit-minit terakhir perlawanan.

Pada minit ke-89, Kieran Gibbs melakukan lambungan cantik untuk menumpaskan penjaga gol Anderlect, Silvio Proto dan sekali gus menyamakan kedudukan menjadi 1 – 1.

Ketika permainan kian suntuk, penyerang Jerman berusia 29 tahun, Lukas Podolski melonjakkan kedudukan melalui jaringan dramatik di masa kecederaan.

Persembahan kurang memberangsangkan oleh Arsenal memang mengecewakan sebahagian besar penyokong mereka dengan kedudukan semasa dalam liga perdana Inggeris menunjukkan pasukan itu terkeluar daripada saingan merebut tempat teratas.

Sebenarnya Anderlect gagal mempamerkan permainan yang baik namun keadaan itu gagal dimanfaatkan oleh pemain Arsenal yang kelihatan kurang keyakinan dan idea, selain barisan pertahanan yang rapuh.

Ketika Najar menanduk masuk gol pada minit ke-71, ada empat pemain pertahanan Arsenal di dalam kotak penalti namun tiada seorang pun bertindak mengekang penyerang berkeenaan.

Lebih buruk, tiada permain pertahanan cuba menyekat hantaran bola daripada Praet.

Selepas itu ada beberapa lagi peluang terbuka untuk Anderlect namun ia gagal membuahkan hasil.

Pada separuh masa pertama kedua-dua pasukan gagal membuat percubaan tepat ke gawang lawan masing-masing.

Hanya Alexis Sanchez yang dilihat bermati-matian di atas padang dengan mengerah tenaganya mengejar pergerakan bola serta mencuba menjaringkan gol sehingga wisel penamat ditiup.

Sementara itu Wenger berkata, mereka mengawal bola pada separuh masa pertama tetapi tiada peluang tercipta di depan gol.

“Pada separuh masa kedua, kami mempertaruhkan gerakan dan barisan pertahanan agak longgar, namun percaturan itu memihak kepada kami kali ini,” katanya.

Dalam perlawanan berasingan, Juventus tewas 0-1 kepada Olympiacos dalam aksi peringkat Kumpulan A di Stadium Karaiskaki.

Roberto (tengah) berjaya menampan percubaan pemain Juventus.

Oympiacos mendahului seawal minit ke-35 menerusi jaringan Pajtim Kasami yang bijak memperdayakan penjaga gawang lawan, Gianluigi Buffon.

Juventus cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan pada babak kedua tetapi gagal menemui penyudah berbisa.

Penjaga gawang Olympiacos, Roberto berjaya melakukan beberapa tampanan hebat pada babak kedua dan mengekalkan penguasaan pasukannya sehingga tamat perlawanan.

Dengan kekalahan ini, Juventus kini menduduki tempat ketiga Kumpulan A dengan hanya mengutip tiga mata daripada tiga perlawanan manakala Olympiacos berada pada kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat 14 pasukan terbaik.

Artikel Berikut

Keputusan Tenis ATP Valencia

Artikel Lain