suria

Malaysia Seri 1-1 Dengan New Zealand

Penjaga gol New Zealand Andrew Lock berusaha keras menampan bola daripada pukulan pemain Malaysia pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor kali ke-4 di Stadium Taman Daya Johor Baharu, Johor pada Isnin. -Foto BERNAMA.
JOHOR BAHARU: Malaysia masih lagi belum mendapat kemenangan pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2014 yang masuk pusingan kedua di sini hari ini apabila sekadar seri 1-1 dengan New Zealand.

Anak-anak buah Arul Selvaraj itu pada mulanya dijangka sudah dapat mengatasi perasaan gementar mereka semasa perlawanan menentang Australia semalam apabila mendahului dengan 1-0 melalui pukulan sudut penalti yang diambil Mohd Najmi Jazlan pada minit ke-12. 

Namun jangkaan bahawa mereka akan bangkit meleset apabila tidak dapat menambah bilangan gol sehingga tamat separuh masa pertama.

New Zealand yang dibimbing jurulatih Bryce Collins juga gagal menghasilkan sebarang gol meskipun mendapat dua pukulan sudut penalti.

Pasukan itu yang tewas kepada India 1-2 semalam menyamakan kedudukan pada minit ke-46 melalui jaringan gol padang oleh Ben Radovonich pada minit ke-46.
 
Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan walaupun kedua-dua pasukan mendapat dua lagi peluang terbaik melalui pukulan sudut penalti.

Dengan keputusan itu, Malaysia terpaksa bekerja lebih keras ketika menentang Great Britain pada Rabu nanti.

Dalam perlawanan sebelum itu, Great Britain yang menjadi pasukan pilihan selepas menewaskan Pakistan 5-0 semalam, menewaskan India 2-0 hari ini.

Gol padang diperolehi melalui Benjamin Boon pada minit ke-28 dan oleh Samuel French pada minit ke 49.

Sementara itu, Pakistan yang cuba membuat kebangkitan hanya mampu menyekat Australia dengan keputusan 1-1.

Gol diperolehi Pakistan selepas pemainnya Muhammad Naveed dengan bijak melepasi tiga pemain pertahanan Australia di dalam kawasan D sebelum meledakkan bola ke dalam gawang pada minit ke-52.

Namun kegembiraan Pakistan itu hanya bertahan lapan minit sahaja apabila Andrew Scanlon menjaringkan gol penyamaan dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel Sebelum

Keputusan Kelayakan Euro 2016

Artikel Berikut

Artikel Lain