suria

Wozniacki Benam Errani Untuk Mara Ke Separuh Akhir

Caroline Wozniacki.
NEW YORK: Caroline Wozniacki mempamerkan aksi bertenaga selepas menewaskan Sara Errani dari Itali, 6-0 6-1 untuk mara ke separuh akhir kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat.

Pemain Denmark pilihan ke-10 itu akan bertemu pemain bukan pilihan dari China, Peng Shuai yang melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pemain muda Switzerland, Belinda Bencic 6-2, 6-1 dalam satu lagi saingan suku akhir perseorangan wanita.

Wozniacki layak ke separuh akhir Grand Slam buat pertama kali sejak 2011 dengan corak permainan agresif sehingga langsung tidak memberi ruang kepada Errani bertindak.

"Ia satu musim yang terumbang ambing buat saya pada tahun ini.

"Namun, saya amat gembira kerana layak ke separuh akhir Terbuka AS sekali lagi. Sudah pasti usaha gigih akhirnya berbalas. Saya di sini dan saya amat gembira hari ini," kata Wozniacki.

Wozniacki, finalis Terbuka AS pada 2009 menduduki ranking nombor satu dunia selama 67 minggu pada 2010 sehingga 2011 tapi masih memburu gelaran Grand Slam yang pertama.

Ketika ditanya mengenai Peng, dia berkata lawan itu bermain baik ketika ini dan juga agresif dalam permainan. 


Artikel Lain