suria

Piala Malaysia: Sarawak, T-Team Terkeluar

Pemain Sarawak, Mohamad Rashid Aya diasak oleh pemain Perak, Abdulafees Abdulsalam (kanan) pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Negeri, di Kuching, malam Sabtu.-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sarawak dan T-Team terkeluar daripada saingan Piala Malaysia 2014 selepas masing-masing menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan B dan D selepas perlawanan peringkat kumpulan, malam Sabtu.

Di Stadium Negeri, Kuching, tuan rumah Sarawak gagal menggunakan kelebihan bermain di halaman sendiri apabila hanya sekadar seri 1-1 dengan Perak.

Sarawak hanya mampu mengumpul empat mata selepas lima perlawanan dan akan melengkapkan jadual dengan menentang Terengganu, 3 September ini.

Berikutan penyingkiran Sarawak dalam saingan Piala Malaysia musim ini, satu kekecohanan tercetus antara penyokong kedua-dua pasukan apabila ada kalangan penyokong melempar suar dan mercun ke dalam padang.

Pada perlawanan tersebut, Sarawak membuka tirai jaringan menerusi Hairol Mokhtar pada minit ke-59 sebelum Perak menyamakan kedudukan menerusi penyerang import Marco Tulio pada minit ke-77.

Meskipun Perak mengungguli kedudukan teratas kumpulan namun peluang skuad 'The Bos Gaurus' ke suku akhir masih belum terjamin apabila berkongsi mata dengan Terengganu manakala Kedah hanya ketinggalan satu mata.

Ketiga-ketiga pasukan itu mempunyai peluang merebut dua slot dalam kumpulan itu ke peringkat suku akhir.

Perak akan berdepan dengan Kedah pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 3 September ini.

Dalam pada itu, Terengganu dan Kedah seri 2-2 di Stadium di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol skuad Peteh dijaringkan oleh Ashaari Samsuddin pada minit ke-36 dan Ismail Faruqi Asha'ri (79') manakala gol bagi Kedah diledakkan oleh Baddrol Bakhtiar (45') dan pemain import dari Korea Selatan, Namkung Woong (68').

Dalam saingan kumpulan D, T-Team gagal meneruskan saingan apabila sekadar mengutip tiga mata keseluruhan selepas tewas kepada Sime Darby FC 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Sime Darby mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan pemain import dari Croatia, Mateo Roskam pada minit ke-14 dan Dzulfahmi Abdul Hadi pada minit ke-27.

Bagaimanapun, T-Team merapatkan defisit jaringan menerusi Jimmy Mulisa pada minit ke-50.
Sime Darby masih berpeluang untuk meraih slot kedua kumpulan ke suku akhir apabila mengutip enam mata, di belakang Selangor dengan tujuh mata.

Gergasi Merah hanya mengutip satu mata selepas seri 1-1 menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Pemain Selangor Paulo Rangel diasak oleh pemain PDRM dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, malam Sabtu. -fotoBERNAMA


Selangor meraih gol pertama menerusi pemain import dari Indonesia, Andik Andik Vermansah pada minit ke-11 manakala gol penyamaan PDRM disumbangkan oleh Alafi Mahmud pada minit ke-85.

PDRM terlebih dahulu mengesahkan tiket ke suku akhir apabila mencatatkan rekod pungutan mata tertinggi iaitu 13.

Selangor dilihat mempunyai kelebihan untuk meraih slot ke suku akhir apabila dijadualkan menentang T-Team.

Sime Darby perlu meranapkan rekod tanpa kalah PDRM dan mengharapkan Selangor sekurang-kurang seri dalam pertemuan terakhir kumpulan dengan T-Team untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik.


Sarawak, T-Team, Piala Malaysia

Artikel Lain