suria

Wilson Kecewa Gagal Ke Final 400m Gaya Bebas

NANJING: Perenang pelapis, Wilson Sim gagal ke final setelah berada di tempat ke-11 keseluruhan pada saringan awal 400m gaya bebas individu lelaki pada hari pertama temasya Olimpik Remaja (YOG 2014) yang berlangsung di Nanjing Olympic Sports Centre Natatorium dekat sini, Ahad.

Beliau menamatkan aksi dengan catatan masa 3:55.72s dan merupakan catatan masa terbaik peribadinya untuk tahun ini.

Perenang Mesir, Ahmed Akram mendominasi saingan awal dengan catatan masa 3:52.02s dikuti Acosta Marcelo Alberto dari El Salvador dengan catatan 3:53.14s.

"Saya rasa agak terkilan kerana gagal ke pusingan akhir namun ianya tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha," katanya kepada Bernama, Ahad.

Wilson sebelum ini menduduki tempat kedua pada ranking 50th MILO/PRAM Invitational Age Group Kuala Lumpur yang berlangsung pada April lalu dengan catatan masa peribadi terbaik 15:48.0s bagi acara 1500m gaya bebas individu lelaki.

Perenang berusia 17 tahun ini juga mengambil bahagian dalam acara 200m gaya bebas individu lelaki yang dijadualkan berlangsung esok dan 800m gaya bebas individu lelaki pada 21 Ogos.

Selain Wilson, tiga lagi perenang negara yang mengalas cabaran di YOG 2014 ialah Lim Ching Hwang yang akan beraksi dalam acara 100m dan 200m gaya bebas individu lelaki, Yap Siew Hui (200m kuak kupu-kupu individu lelaki) dan Angela Chieng Chui Fei.


Wilson Sim, Olimpik Remaja

Artikel Berikut

Artikel Lain