suria

Dharma Raj 'Direhatkan' Daripada Melatih Skuad Hoki Negara

Dharma Raj
KUALA LUMPUR: Khidmat Muhammad Dharma Raj Abdullah sebagai ketua jurulatih hoki negara "direhatkan" sementara dan diganti oleh ketua jurulatih skuad hoki remaja Arul Selvaraj buat sementara waktu.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini bertitah Selvaraj akan memegang jawatan ketua jurulatih itu sehingga baginda mendapat jurulatih antarabangsa bagi mengendalikan skuad kebangsaan.

Baginda bertitah kedudukan sebenar Dharma Raj akan ditentukan bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dalam masa terdekat.

"Arul Selvaraj dipertanggungjawabkan untuk menggalas nama negara ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September ini dan melatih pasukan hoki kebangsaan sehingga kita jumpa pengganti Dharma Raj.

"Beliau (Selvaraj) akan dibantu oleh bekas pengendali skuad hoki negara Tai Beng Hai sebagai jurulatih berprestasi tinggi dan pengurus pasukan hoki kebangsaan bagi persiapan ke Sukan Asia," titah baginda kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar bagi membincang isu berkenaan di sini Isnin.

Tengku Abdullah turut berterima kasih atas segala usaha yang telah diberikan oleh Dharma Raj sebagai jurulatih kebangsaan dan mengakui bahawa prestasi buruk skuad hoki negara adalah berpunca daripada peletakan jawatan Paul Revington secara terburu-buru.

Khidmat Dharma Raj dihentikan selepas skuad hoki negara mempamerkan prestasi hambar pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland bulan lepas.

"Saya akan berjumpa dengan para pemain dalam masa terdekat ini dan harap semangat mereka akan bangkit semula. Prestasi skuad hoki kita adalah bergantung kepada pemain juga, kalau sikap mereka tidak positif.. MHC tidak akan hantar pasukan ke Sukan Asia.

"Jadi mereka perlu tunjukkan semangat positif mereka dan bangun daripada kekalahan selama ini. Kalau pemain ada sikap sambil lewa, saya bersedia mengambil langkah yang drastik ini," titah Tengku Abdullah.

Baginda menyasarkan skuad hoki kebangsaan dapat mara ke peringkat final dalam perlawanan di Incheon nanti.

Tengku Abdullah bertitah baginda akan memberikan keyakinan dan sokongan padu kepada Selvaraj selaku jurulatih sementara skuad hoki kebangsaan dan berharap Selvaraj akan memberi tunjuk ajar yang sepatutnya kepada skuad hoki kebangsaan.
hoki, Dharma Raj

Artikel Sebelum

Klose Umum Persaraan

Artikel Berikut

Artikel Lain