suria

Harimau Selatan Tidak Akan Guna Khidmat Eto'O

JOHOR BAHARU: Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengesahkan tidak bercadang meneruskan niat mendapatkan khidmat bekas pemain pasukan Liga Perdana Inggeris Chelsea, Samuel Eto’O.

Presiden PBNJ Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah pihaknya terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat Eto’O berdasarkan faktor usia Pemain Terbaik Afrika sebanyak empat kali itu.

Baginda bertitah Eto’O yang berusia 33 tahun tidak sesuai untuk beraksi bersama-sama Johor Darul Ta’zim (JDT) berdasarkan polisi baharu PBNJ yang hanya ingin mengambil pemain import muda untuk musim hadapan.

"Sebelum ini kita memang ada berbincang untuk mendapatkan khidmat Samuel Eto’O dan beliau sendiri ada menunjukkan minat untuk datang ke Johor.

“Saya tidak nafikan dia pemain yang bagus tetapi ia bercanggah dengan polisi baharu PBNJ yang inginkan pemain lebih muda. 

"Jadi, kita tidak  jadi untuk meneruskan rancangan ini," titah baginda kepada pemberita dan sesi soal jawab bersama peminat JDT di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, pada Khamis.

Tunku Ismail bertitah sekalipun hasrat untuk mendapatkan khidmat bekas penyerang kebangsaan Cameroon itu tidak diteruskan, namun baginda mempunyai perancangan lain untuk mendapatkan pemain import lebih muda bagi memperkuat barisan skuad Harimau Selatan musim hadapan.

Baginda bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemain import yang sedang diintai namun berjanji akan memilih pemain import yang lebih baik daripada pemain sedia ada.

Dalam pada itu, baginda bertitah dua pemain import utama ketika ini, Luciano Figueora dan Jorge Pereyra Diaz yang masih mempunyai baki kontrak selama setahun, mungkin akan terus kekal bersama JDT untuk musim hadapan.

Namun, menurut baginda rombakan akan dibuat terhadap barisan pemain tempatan dan tidak menafikan sedang merisik untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain dari Selangor, Sarawak dan Terengganu.

harimau selatan, JDT, TMJ

Artikel Berikut

Artikel Lain