suria

Anuar Abu Bakar Jurulatih Baharu T-Team

Anuar Abu Bakar
KUALA TERENGGANU: Teka teki menyelubungi T-Team berhubung pengendali baharu akhirnya terungkai apabila Anuar Abu Bakar, bekas penolong jurulatih PKNS FC diumumkan jurulatih pasukan itu.

Mengumumkan demikian, Ketua Pegawai Operasi T-Team Syahrizan Mohd Zain berkata Anuar, 43, yang juga bekas pemain kebangsaan dari tahun 1991 hingga 1997 akan memulakan tugas sebagai jurulatih pada Jumaat ini.

"Keputusan tersebut dibuat oleh pihak pengurusan T-Team yang bersidang petang semalam," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya, penolong jurulatih Azlan Johar masih kekal menggalas tugas bersama skuad itu dan beliau akan dibantu bekas jurulatih pasukan Piala Presiden Terengganu Azahari Salim dalam misi membantu pasukan dalam saingan Piala Malaysia bermula 13 Ogos ini.

T-Team akan membuka tirai saingan piala berprestij itu menentang pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Menurut beliau, Anuar adalah sebahagian daripada kelompok lapan nama jurulatih dalam perhatian pengurusan T-Team sebelum dilakukan penilaian akhir untuk membimbing pasukan.

Kekosongan jawatan jurulatih pasukan berstatus kelab itu berikutan peletakan jawatan Mohd Azraai Khor Abdullah, 62, dua minggu lalu ekoran rasa bertanggungjawab kerana gagal membawa dan mengekal The Titans dalam saingan Liga Super untuk musim depan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat ketika ditemui selepas mesyuarat mingguan Exco hari ini, meminta pihak pengurusan dan jurulatih baharu itu segara melatih pemain T-Team berikutan masa yang kian suntuk menghadapi saingan Piala Malaysia itu.

Katanya, segala masalah Anuar berhubung kontrak dengan Selangor PKNS telahpun diselesaikan dan berharap pengalaman beliau mampu melonjakkan prestasi T-Team untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

Anuar, anak kelahiran Muar, Johor merupakan penyerang dan pemain tengah dari 1993 hingga 2003 dan pernah menyarung jersi Selangor, Johor, Kelantan dan Pulau Pinang serta pasukan berstatus kelab MPPJ. 


T-Team, Anuar Abu Bakar

Artikel Sebelum

Keputusan WTA Montreal

Artikel Berikut

Artikel Lain