suria

Berbasikal: Mohd Fauzan, Sea Keong Gagal Tamatkan Perlumbaan

Loh Sea Keong.

GLASGOW: Faktor masalah teknikal dan cuaca tidak menentu sepanjang perlumbaan acara berbasikal lebuh raya temasya Sukan Komanwel ke-20 pada Ahad, menyebabkan dua pelumba negara gagal menamatkan saingan masing-masing.

Perlumbaan yang berlangsung sekitar pusat bandar Glasgow itu berlangsung dalam cuaca sejuk dan berangin serta hujan lebat.

"Dalam perlumbaan hari ini, Loh Sea Keong terlibat dengan kemalangan ketika melalui laluan menuruni bukit, sementara Mohd Fauzan pula mengalami masalah tayar bocor," kata pengurus pasukan berbasikal Datuk Amarjit Singh Gill kepada Bernama.

Menurutnya, akibat kemalangan selepas menamatkan lima pusingan, Sea Keong mengalami kecederaan kaki dan gear basikalnya pecah.

Sementara Mohd Fauzan pula mengalami masalah tayar bocor dan akibat pasukan 'neutral service' yang lambat tiba telah menyebabkan banyak masa terbuang.

"Memandangkan Malaysia hanya disertai oleh dua pelumba sahaja, pihak penganjur tidak memberi kemudahan kenderaan pasukan yang sepatutnya mengekori perlumbaan.

"Jika Malaysia turut diberi kenderaan pasukan, masalah Fauzan akan cepat diatasi. Kita terpaksa berharap kepada  khidmat 'neutral service'," kata Amarjit.

Pada perlumbaan pada Ahad, hanya 13 daripada 140 pelumba sahaja yang menamatkan perlumbaan.

Pingat emas acara sejauh 168.2km dan melibatkan seramai 140 pelumba itu dimenangi pelumba Wales, Geraint Thomas dengan masa empat jam, 13 minit dan lima saat.

Sementara Jack Bauer dari New Zealand dengan 4:14:26s meraih pingat perak dan pingat gangsa menjadi milik Scott Thwaites dari England dengan 4:14:26s.

Artikel Lain