suria

Beregu Campuran, Perseorangan Wanita Gagal Ke Final

Pemain perseorangan wanita negara Tee Jing Yi beraksi menentang pemain Scotland K. Gilmour dalam aksi separuh akhir badminton wanita di temasya Sukan Komanwel kali ke-20 Glasgow di sini hari ini.
Dia tewas 13-21 dan 19-21. -Foto BERNAMA.
GLASGOW: Peluang skuad badminton membantu kontinjen negara meraih tujuh pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 semakin tipis apabila pasangan beregu campuran dan perseorangan wanita negara gagal ke final.

Chan Peng Soon-Lai Peng Jing kalah kepada pasangan England, Chris Langridge-Heather Oliver dengan 15-21, 22-20 dan 13-21 manakala Tee Jing Yi tewas kepada Kirsty Gilmour dari Scotland, 13-21 dan 19-21 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung pada Sabtu.

Peng Soon-Pei Jing akan bertemu pasangan tuan rumah Robert Blair-Imogien Bankier pada penentuan pingat gangsa pada 5 petang ini waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia).

Jing Yi pula akan bertemu P V Sindhu dari India pada perlawanan penentuan pingat gangsa 6 petang waktu tempatan (1 pagi waktu Malaysia).

Harapan skuad badminton negara untuk menambah kilauan emas kini dipikul oleh pasangan beregu lelaki Tan Wee Kiong-Goh V Shem yang sedang bertarung dalam perlawanan separuh akhir. 

Malaysia setakat ini mengumpul empat pingat emas melalui atlet angkat berat, Mohd. Hafifi Mansor disusuli kejayaan Datuk Nicol Ann David (acara perseorangan skuasy), badminton berpasukan campuran dan atlet terjun negara, Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal individu lelaki.
badminton, beregu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain