suria

Piala Dunia: Argentina Bertemu Belanda Di Separuh Akhir

Pasukan Belanda meraikan kemenangan selepas menewaskan Costa Rica menerusi penentuan penalti, awal pagi Ahad.
ARGENTINA akan bertemu Belanda di pentas separuh akhir Piala Dunia mengikut jejak Brazil dan Jerman.

Argentina mara menerusi kemenangan tipis 1-0 menentang Belgium hasil rembatan Gonzalo Higuain pada minit kelapan perlawanan.

Kali terakhir Argentina beraksi di pentas separuh akhir adalah pada tahun 1990 namun tewas kepada Jerman pada peringkat akhir.

Sementara itu, saingan di antara Belanda dan Costa Rica menjadi satu-satunya perlawanan suku akhir Piala Dunia edisi ini yang terpaksa diheret ke masa tambahan dan penentuan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga tamat masa.

Dalam perlawanan di Arena Fonte Nova, awal pagi Ahad, penjaga gol simpanan Belanda, Tim Krul dibawa masuk beberapa minit sebelum masa tambahan berakhir bagi menggantikan Jasper Cillessen selepas beraksi selama 120 minit.

Percaturan Louis van Gaal meletakkan penjaga gol Newcastle itu nyata menjadi apabila dia berjaya menepis dua sepakan penalti yang diambil oleh kapten Costa Rica, Bryan Ruiz dan Michael Umana.

“Setiap penjaga gol mempunyai kualiti tertentu dan kami merasakan dia memiliki capaian lebih baik, rekod lebih baik untuk menghalang penalti,” kata van Gaal.

“Kami berbincang perkara ini dengan Tim, bagaimana Costa Rica melakukan sepakan penalti mereka, turutan mereka. Jadi dia sudah bersedia. Dan kami bernasib baik kerana jika ia tidak menjadi, saya melakukan keputusan yang salah," katanya lagi.

Mengimbas perlawanan, Belanda memperolehi banyak peluang menjaringkan gol, termasuklah pada minit ke-92 menerusi sepakan Van Persie di hadapan gawang namun berjaya ditepis keluar oleh pemain Costa Rica.

Costa Rica yang tampil di Piala Dunia 2014 sebagai pasukan yang paling banyak membuat kejutan nyata tidak banyak menguasai bola, malah hampir tidak melakukan serangan namun tiang dan palang gol serta kehebatan penjaga golnya, Keylor Navas banyak membantu menyelamatkan gol Costa Rica daripada bolos.

Belanda menempah tiket ke separuh akhir menentang Argentina apabila menang penalti 4-3.

separuh akhir, Belanda, Costa Rica

Artikel Sebelum

Artikel Lain