suria

Chelsea Umum Beli Diego Costa Dari Atletico

CHELSEA telah mencapai persetujuan dengan Atletico Madrid untuk mendapatkan khidmat Diego Costa pada harga  £32 juta.

Dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman webnya, Chelsea memaklumkan yang mereka telah membeli Costa dengan membayar nilai kontraknya.

Pemain berusia 25 tahun yang berasal dari Brazil itu tetapi kemudiannya membuat keputusan untuk memohon kewarganegaraan Sepanyol merupakan sebahagian daripada anggota skuad Piala Dunia Sepanyol yang tersingkir di peringkat kumpulan.

Dia memainkan peranan utama dalam menentukan Atletico berjaya muncul sebagai juara La Liga musim lalu tetapi di penghujung musim prestasinya merudum setelah mengalami kecederaan otot dan hanya mampu bermain beberapa minit sahaja dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang dimenangi oleh Real Madrid.

Keseluruhannya Costa menjaringkan 35 gol musim lalu. 

Kemampuan Costa menjaringkan gol sebanyak itu musim lalu telah menjadikannya sasaran utama José Mourinho, yang mendapati ketumpulan di bahagian serangan skuadnya telah menyaksikan Chelsea menamatkan musim di belakang Manchester City dan Liverpool serta disingkirkan oleh Atlético di separuh akhir Liga Juara-Juara.

Chelsea telah pun kehilangan khidmat Ashley Cole yang tidak diperbaharui kontraknya dan begitu juga dengan Frank Lampard yang mengambil keputusan untuk bersara.

Sebelum membeli Costa, Chelsea telah berjaya mendapatkan khidmat bekas kapten Arsenal, Cesc Fábregas dari Barcelona pada 12 Jun lalu.

Mereka juga telah mengumumkan pelanjutan kontrak penjaga gol veteran, Mark Schwarzer, 41.

diego costa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain