suria

'Wira Negara' Rekaan Terbaharu Pakaian Kontinjen Negara

Sebahagian atlit yang memperagakan pakaian baru untuk pasukan kebangsaan (Malaysian Hero) yang direka khas oleh pererka pakaian terkenal tempatan oleh Melinda Looi.

KUALA LUMPUR: Koleksi baharu pakaian rasmi kontinjen Malaysia akan diperagakan oleh atlet negara buat pertama kali pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, Julai ini.

Dikenali sebagai 'Wira Malaysia', koleksi rekaan pereka fesyen terkenal Melinda Looi itu merangkumi set pakaian rasmi untuk acara perarakan pada perasmian temasya sukan dan kit atlet merangkumi trek sut,kemeja-T berkolar dan tidak berkolar, beg dan topi.

Pada majlis pembukaan dan perarakan masuk temasya sukan, kontinjen negara akan mengenakan baju kurung dan selendang bagi atlet wanita dan baju Melayu bersampin bagi atlet lelaki bermotifkan corak songket mengikut warna Harimau Malaya iaitu oren dan hitam.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata setelah hampir 10 tahun, sudah tiba masanya ia diberi nafas baharu supaya lebih segar, menarik, bertenaga dan 'lebih garang' seiring dengan nama Harimau Malaya yang dibawa.

"Sudah pasti corak baju tidak menentukan kemenangan tetapi ia boleh menaikkan semangat kita sebagai identiti negara," katanya.

Kit kontinjen negara sedia ada mula digunakan sejak November 2005.

Khairy berkata beliau mendapat ilham untuk memperbaharui rekaan pakaian rasmi kontinjen negara menerusi penampilan pasukan bola sepak Itali dan Great Britain yang mana pakaian rasmi masing-masing pernah mendapat sentuhan golongan pereka tersohor.

"Kita bukan sahaja mahu melihat dari segi prestasi tetapi juga mahu memberikan gambaran penampilan atlet negara sebagai sebahagian daripada aset dangaya kepada mereka," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain