suria

Godin Bantu Uruguay Mara Atasi Itali

Godin meraikan kejayaan Uruguay mara ke pusingan kedua.
URUGUAY mara ke pusingan kedua Piala Dunia menerusi jaringan tunggal penuh dramatik kapten Diego Godin untuk membantu pasukan mengatasi Itali 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan D di Stadium das Dunas, awal pagi Rabu.

Aksi penuh mendebarkan itu menyaksikan Itali yang juga juara dunia empat kali tersingkir dan mengulangi derita empat tahun lalu di Afrika Selatan.

Itali hanya memerlukan keputusan seri untuk mara namun gol tandukan Godin yang hadir pada minit ke-81 meranapkan impian pasukan kendalian pengurus Cesare Prandelli.

Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan pada babak pertama dan Itali menguasai perlawanan sebelum saingan bertambah sengit di babak kedua.

Itali terus dirundung malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Claudio Marchisio dilayangkan kad merah pada minit ke-58 selepas mengasari Egidio Arevalo Rios.

Malah, perlawanan semakin panas apabila tonggak utama Uruguay, Luis Suarez dilihat menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini beberapa minit sebelum Godin menjaringkan gol.

Bagaimanapun tiada tindakan dikenakan terhadap Suarez.

Kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan gol selepas masing-masing menang satu perlawanan dan tewas satu perlawanan.

Kemenangan itu meletakkan Uruguay selaku naib juara Kumpulan D selepas mengumpul enam mata.
Piala Dunia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain