suria

Bahang Piala Dunia 2014 Dirasai Di Malaysia

BAHANG PIALA DUNIA... Seorang pekerja di sebuah pasaraya, Ibrahim Mondul, 38, memasang bendera negara-negara yang mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak Piala Dunia 2014 bagi memeriahkan suasana sambutan kejohanan berprestij itu yang bermula 13 Jun ini. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sehari sebelum bermulanya sepak mula Piala Dunia 2014 di Brazil, awal pagi Jumaat, bahangnya semakin terasa di negara ini.

Tinjauan Bernama di beberapa tempat seperti kedai pakaian sukan, beberapa pusat beli belah dan hotel di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis, mendapati kebanyakan pekerja sedang sibuk menghias premis masing-masing dalam menyambut debaran kejohanan paling berprestij tersebut.

Penyelia kedai peralatan Al-Ikhsan cawangan BB Plaza, Zulhaireel Shammil Mohamad, 21 berkata jualan jersi pasukan yang bertanding pada Piala Dunia kali ini mendapat sambutan hangat daripada peminat tempatan mahupun luar negara sambil mendakwa memperolehi keuntungan sekali ganda berbanding jualan harian.

"Jersi daripada beberapa negara seperti Jerman, Jepun dan Itali telah kehabisan stok walaupun kita telah membuat tempahan semula daripada pembekal kita.

"Ada di antara pelanggan yang datang mementingkan kualiti kain yang digunakan pada sesebuah jersi berbanding jenama serta negara yang tertera pada jersi tersebut," katanya.

Berkongsi pandangan sama ialah pemilik Add In Sport Shoes Sdn Bhd di Berjaya Times Square, Michael Cheah, 47, yang menyatakan peminat lebih mementingkan kualiti jersi dan bukan semata-mata jenama atau pasukan.

Beliau berkata hasil jualan jersi telah berganda sejak beberapa hari lepas.

Cheah, yang menjalankan perniagaan peralatan sukan sejak 10 tahun lepas, berkata jersi pasukan seperti England, Jerman, Sepanyol dan Belanda telah kehabisan stok hasil permintaan tinggi oleh peminat tempatan.

"Saya telah membuat tempahan semula daripaad pembekal tetapi mereka mendakwa bekalan tidak cukup memandangkan permintaan tinggi khusus untuk pasukan pilihan," kata Cheah yang menjalankan perniagaan dengan bantuan adik perempuannya Stephanie, 41.

Beberapa hotel di sekitar ibu negara seperti di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail turut mengambil kesempatan dengan menghias lobi dengan pelbagai bendera negara yang bertanding di Piala Dunia selain mengaplikasikan nama negara dalam menu masing-masing.

Dalam pada itu, beberapa pembeli yang ditemui berkata mereka sanggup menghabiskan wang semata-mata bagi mendapatkan jersi pasukan pilihan masing-masing.

Bagi Azlan Zainal, 35, yang bekerja sebagai pelayan hotel, beliau sanggup menempuh kesesakan bagi mendapatkan jersi pasukan Brazil memandangkan beliau tidak bekerja pada Khamis.

"Saya mendapat pelepasan selama dua hari daripada majikan dan hanya berkesempatan untuk membeli jersi pada hari ini walaupun terpaksa memandu dari tempat tinggal saya di Rawang.

"Bagi saya, bukan harga yang menjadi ukuran tetapi kualiti jersi berkenaan mestilah sepadan dengan harga yang dibayar," katanya ketika ditemui di Bukit Bintang.

Berkongsi pandangan yang sama ialah S. Kalaichelvan, 27, yang bekerja sebagai pekerja am, yang mengambil kesempatan cuti selama beberapa hari diberi oleh majikannya untuk mendapatkan jersi pasukan Sepanyol.

"Walaupun saya sudah memiliki beberapa jersi negara Sepanyol, saya berhasrat mencari rekaan baharu jersi negara berkenaan yang dikeluarkan tahun ini...Saya tidak kisah berbelanja besar asalkan jersi berkenaan adalah asli," katanya.

Dalam keghairahan sebelum bermulanya Piala Dunia 2014, segelintir peniaga di beberapa tempat seperti Puduraya dan Chow Kit serta sekitar Bukit Bintang dilihat mengambil kesempatan dengan menjual pelbagai jenis jersi tiruan dengan harga serendah RM50 selain turut menggaji pekerja asing daripada beberapa negara seperti Bangladesh, Nepal dan Pakistan bagi menjaga kedai masing-masing.

Piala Dunia 2014 membuka tirai dengan aksi pembukaan antara Brazil dan Croatia di Arena Corinthians kira-kira pukul 5 petang Khamis waktu tempatan (4 pagi Jumaat waktu Malaysia).

Piala Dunia 2014

Artikel Lain