suria

Kejohanan Terjun Siri Dunia: Gandingan Baharu Pandelela - Cheong Raih Perak

KUALA LUMPUR: Selepas gagal menaiki podium dalam beberapa pusingan sebelum ini, akhirnya ratu terjun negara Pandelela Rinong telah mendapatkan semula daya saingnya pada pusingan akhir Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2014 di Monterrey, Mexico.

Pandelela, yang berganding dengan Cheong Jun Hoong, meraih pingat perak dalam acara 10m platform seirama selepas mengumpul 328.56 mata awal hari ini, menurut laman sesawang Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) www.fina.org.

Pasangan Pandelela sebelum ini, Leong Mun Yee tidak dapat menyertai pusingan itu selepas mengalamai kecederaan bahu.

Walaupun menurunkan penerjun pelapis, China terus mendominasi kejohanan dunia itu apabila acara itu dimenangi oleh gandingan Huang Xiaohui dan Lian Jie dengan 338.76 mata.

Gandingan Kanada, Meaghan Benfeito dan Roseline Filion memperoleh pingat gangsa dengan 323.28 mata.

Bagaimanapun gandingan baharu Pandelela dan Cheong gagal mengulangi pencapaian pingat perak itu dalam acara 3m papan anjal seirama apabila sekadar menduduki tempat ketujuh daripada lapan pasangan dengan 277.80 mata.

Wang Han dan He Zi dari China membuktikan bahawa mereka masih merupakan gandingan terbaik dunia apabila merangkul emas dengan 321.60 mata.

Penerjun tuan rumah Dolores Hernandez dan Laura Sanchez melakukan kejutan apabila meraih pingat perak dengan 313.50 mata diikuti pingat gangsa oleh gandingan Kanada, Jennifer Abel dan Pamela Ware dengan 309.48 mata.

Dalam kategori lelaki, gandingan negara Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang gagal menyinar dalam acara 3m papan ajal seirama apabila menduduki tempat keenam daripada tujuh peserta dengan 360.63 mata.

Gandingan China Cao Yuan dan Lin Yue memperoleh pingat emas (442.62 mata) diikuti perak oleh Jack Laugher dan Chris Mears dari Britain (423.78 mata).

Penerjun tuan rumah, Jahir Ocampo dan Rommel Pacheco membawa pulang pingat gangsa dengan mengumpul 422.91 mata.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain