suria

Del Potro Sah Sertai Tenis Terbuka Malaysia, September Ini

Del Potro
KUALA LUMPUR: Pemain nombor tujuh dunia, Juan Martin Del Potro adalah antara tiga bintang utama dunia yang bakal menghangatkan Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia, September ini.

Selain bintang Argentina tersebut, kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, dari 20 hingga 28 September ini, akan turut disertai oleh pemain nombor sembilan dunia, Milos Raonic (Kanada) dan pemain nombor 10 dunia, Kei Nishikori dari Jepun.

Pengarah kejohanan, Nick Freyer dalam kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya tidak sabar untuk membawa barisan pemain tersohor tenis ke Malaysia.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada tiga pemain tersebut serta mereka yang akan bertanding di sini kerana memilih Kuala Lumpur sebagai persinggahan pertama mereka di Asia.

Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), Tan Sri Abdul Razak Latiff berkata, Persatuan Tenis Profesional (ATP), badan melindungi kepentingan pemain tenis lelaki antarabangsa, bersetuju menyokong kejohanan itu.

Menurutnya LTAM dijangka mengumumkan tiga wakil Malaysia menerusi 'wild-card' untuk kejohanan bernilai US$1,022,255 (RM3,305,328) pada Ogos ini.

Kejohanan itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor merupakan penaung kejohanan ini.


Artikel Berikut

Artikel Lain