suria

Arsene Wenger Sambung Kontrak 3 Tahun Lagi Dengan Arsenal

Untuk pertama kalinya dalam tempoh sembilan tahun Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berjaya menjulang sebuah piala iaitu FA Inggeris selepas mereka menewaskan Hull City awal Mei lalu di Stadium Wembley, London.

> Nilai perlanjutan kontrak Arsene Wenger mencecah £24 juta

> Pengurus Arsenal itu juga diberikan bajet £100 juta beli pemain baru

> Kemenangan Piala FA Selepas 9 tahun gersang memadai untuk yakinkan lembaga pengarah

> Arsenal mahukan takhta liga pula selepas ini

ARSENE Wenger akan menandantangani perlanjutan kontrak sebagai pengurus Arsenal untuk tempoh tiga tahun lagi dalam beberapa hari akan datang selepas bersetuju dengan terma-terma peribadi yang bakal menyaksikan dia memperolehi bayaran gaji serta imbuhan sebanyak £24 juta sehingga tahun 2017.

Pada awal Mei, Wenger, 64, berjaya membawa pulang Piala FA Inggeris - piala yang pertama yang mereka menangi dalam tempoh sembilan tahun.

Arsenal bukan sahaja bersetuju untuk membayar Wenger gaji dan imbuhan baru sebanyak £24 juta malah akan memberikannya bajet sehingga £100 juta untuk membeli pemain-pemain baru.

Portal berita Britain, The Mail Online mendedahkan yang Wenger akan dibayar £8 juta semusim dalam bentuk gaji sehingga kontrak barunya ini tamat.

Bajet sebanyak £100 juta yang bakal diterimanya musim depan adalah yang paling besar yang pernah diperolehinya sebagai pengurus Arsenal dalam usaha kelab itu untuk menakluk takhta liga pula selepas ini.

Kali terakhir Arsenal merangkul kejuaraan liga ialah pada tahun 2004.

Arsenal menewaskan Hull City dalam perlawanan akhir Piala FA - iaitu Piala FA yang kelima buat Wenger.

Ditanya apakah kontrak barunya itu akan ditandatangani secepat mungkin, Wenger berkata 'ya' kerana selepas itu dia akan berlepas ke Brazil (pada 10 Jun) untuk menyaksikan Piala Dunia dan meninjau potensi pemain-pemain baru.

Sejak menerajui Arsenal 18 tahun yang lalu, Wenger telah mengetuai Arsenal untuk memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan lima Piala FA Inggeris.

Sebelum itu dia adalah pengurus juara Liga Super Jepun, Nagoya Grampus Eight.

Musim ini Arsenal bermula cemerlang sentiasa mendahului kedududan teratas liga sebelum prestasi mereka menurun pada pertengahan musim dan berakhir di tangga keempat sekaligus melayakkan mereka beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan iaitu kali yang ke-17 berturut-turut.


Arsene Wenger, Arsenal

Artikel Lain