suria

Siapakah Dalam Senarai 50 Pemain Bolasepak Paling Berpengaruh Di Eropah?

> Luis Suarez disenarai teratas mengatasi Lionel Messi, Zlatan Ibrahimovic dan Cristiano Ronaldo

> Senarai ini adalah hasil kajian Bloomberg di lima liga teratas Eropah

> Bek tengah Man City, Martin Demichelis disenarai ke-17

> Pemain Chelsea Gary Cahill adalah pemain Inggeris diranking paling tinggi iaitu tangga ke-36

> Lapan pemain dalam senarai tersebut adalah dari juara La Liga, Atletico Madrid

> Lebih mengejutkan tiga pemain Southampton, Dejan Lovren, Jose Fonte dan Rickie Lambert turut tersenarai

KEPANTASANNYA dan prestasinya hampir-hampir menobatkan Liverpool sebagai juara liga dan kini hasil kajian terperinci mendapati yang Luis Suarez dengan jaringan 31 gol secara statistiknya adalah pemain bolasepak paling berpengaruh di benua Eropah.

Analisis mendalam yang dilakukan oleh Bloomberg Sports ke atas setiap pemain dalam liga Inggeris, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol mendapati pemain Uruguay itu jauh lebih tinggi kedudukannya daripada Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Penilaian dan analisis yang dibuat oleh Bloomberg ke atas lima liga paling penting di Eropah dilihat sebagai yang paling canggih serta terbukti secara saintifik di dunia dengan mengambil kira segala aspek pertahanan dan serangan setiap pemain serta kekuatan pihak lawan yang mereka hadapi.

Analisis yang dilakukan oleh Bloomberg itu juga termasuklah mengambil kira kemampuan dan kelemahan dalam menghantar bola, kreativiti di atas padang, mengelicik, menanduk, menendang dan menjaringkan gol.

Kajian itu mendapati, Suarez berada di tangga teratas carta 50 pemain paling berpengaruh di Eropah dengan indeks sebanyak 86.02 mengatasi mata yang diperolehi bintang Barcelona, Lionel Messi yang berada di tangga kedua dengan 85.43 mata diikuti penyerang  Paris Saint-Germain, Zlatan Ibrahimovic di tempat ketiga dengan 84.91 mata.

Pemain terbaik dunia 2013, Ronaldo hanya mampu berada di tangga keempat dengan 84.59 mata.

Pemain AS Roma, Kevin Strootman yang menjadi sasaran Manchester United berada di tangga kelima dengan 81.86 mata dan diikuti oleh penyerang juara baru La Liga, Atletico Madrid, Diego Costa di tangga keenam (81.68 mata).

Paling mengejutkan ialah hasil kajian itu mendapati pemain Magribi dan AS Roma, Mehdi Benatia berada di tangga ketujuh (81.30 mata).

Pemain termahal dunia, Gareth Bale dari Real Madrid hanya mampu berada di tangga ke-24.

Anda juga akan dapati terdapat nama-nama yang tidak dikenali kerana tidak mendapat publisiti meluas dalam media tetapi dari sudut saintifik dan sumbangan mereka membuktikan mereka layak berada dalam 50 pemain paling berpengaruh Eropah.

Sementara itu, Atletico yang kali terakhir menjadi juara liga ialah pada 1996, mempunyai lapan pemain yang disenaraikan dalam 50 pemain paling berpengaruh itu.

Juara Serie A, Juventus mempunyai tujuh wakil yang tersenarai dan begitu juga dengan naib juara AS Roma.

Juara baru Liga Perdana Inggeris, Manchester City menyumbang empat pemain dalam senarai tersebut termasuklah David Silva, Yaya Toure, Martin Demichelis dan Joe Hart.

Southampton juga boleh berbangga dengan tiga pemain mereka termasuk dalam senarai tersebut iaitu Dejan Lovren, Jose Fonte dan Rickie Lambert. Mengejutkan kerana ketiga-tiga mereka berada dalam kedudukan lebih tinggi dari penyerang Manchester United, Wayne Rooney (tangga ke-48).

Ini sekaligus meletakkan Southampton setaraf dengan kelab-kelab besar seperti Real Madrid, Borussia Dortmund dan PSG yang juga hanya diwakili oleh tiga orang pemain.

Bek tengah Chelsea, Gary Cahill adalah pemain Inggeris di ranking paling tinggi iaitu tangga ke-36.

Liga Perdana Inggeris menyumbangkan 13 pemain dalam senarai tersebut termasuklah Eden Hazard, Aaron Ramsey dan Daniel Sturridge.

Bagaimanapun 17 pemain yang tersenarai tidak akan bermain dalam temasya Piala Dunia di Brazil bulan depan kerana negara mereka gagal melayakkan diri. Antaranya Ibrahimovic, Strootman, Mehdi Benatia, Robert Lewandowski dan Tiago.

SENARAI PENUH 50 PEMAIN PALING BERPENGARUH DI EROPAH:


50. Roberto Firmino (Hoffenheim, 79.01);

49. Joe Hart (Manchester City, 79.02);

48. Wayne Rooney (Manchester United, 79.03); 

47. Simon Kjaer (Lille, 79.04); 

46. Leonardo Bonucci (Juventus, 79.05); 

45. Rickie Lambert (Southampton, 79.05); 

44. Andrea Pirlo (Juventus, 79.08); 

43. Andrea Barzagli (Juventus, 79.10); 

42. Daniel Sturridge (Liverpool, 79.13); 

41. Loic Perrin (Saint-Etienne, 79.22);

40. Adrian Ramos (Hertha Berlin, 79.27); 

39. Gianluigi Buffon (Juventus, 79.28); 

38. Aaron Ramsey (Arsenal, 79.29); 

37. Paul Pogba (Juventus, 79.30); 

36. Gary Cahill (Chelsea, 79.30); 

35. Jose Fonte (Southampton) 79.34; 

34. Edinson Cavani (Paris Saint-Germain, 79.39); 

33. Morgan de Sanctis (Roma, 79.45); 

32. Eden Hazard (Chelsea, 79.48); 

31. Dejan Lovren (Southampton, 79.59);

30. Mats Hummels (Borussia Dortmund, 79.61); 

29. Karim Benzema (Real Madrid, 79.63); 

28. Koke (Atletico Madrid, 79.64); 

27. Daniele de Rossi (Roma, 79.84); 

26. Juanfran (Atletico Madrid, 79.92); 

25. Giorgio Chiellini (Juventus, 79.94); 

24. Gareth Bale (Real Madrid, 79.96); 

23. Filipe Luis (Atletico Madrid, 79.96); 

22. Gabi (Atletico Madrid, 79.97); 

21. Miralem Pjanic (Roma, 80.01); 

20. Thiago Silva (Paris Saint-Germain, 80.08); 

19. Gervinho (Roma, 80.18); 

18. Diego Godin (Atletico Madrid, 80.21); 

17. Martin Demichelis (Manchester City, 80.27); 

16. Leandro Castan (Roma, 80.28); 

15. Carlos Tevez (Juventus, 80.30); 

14. Yaya Toure (Manchester City, 80.31); 

13. Miranda (Atletico Madrid, 80.36); 

12. Marco Reus (Borussia Dortmund, 80.66); 

11. Franck Ribery (Bayern Munich, 80.78);

10. David Silva (Manchester City, 80.79);

9. Tiago (Atletico Madrid, 80.79);

8. Robert Lewandowski (Borussia Dortmund, 81.21);

7. Mehdi Benatia (Roma, 81.30);

6. Diego Costa (Atletico Madrid, 81.68);

5. Kevin Strootman (Roma, 81.86);

4. Cristiano Ronaldo (Real Madrid, 84.59);

3. Zlatan Ibrahimovic (Paris Saint-Germain, 84.91);

2. Lionel Messi (Barcelona, 85.43);

1.  Luis Suarez (Liverpool, 86.02). 

Artikel Sebelum

Artikel Lain