suria

Le Vot Menang Pusingan Ketiga Perlumbaan Udara Dunia

Juruterbang Nicolas Ivanoff ketika sesi kelayakan perlumbaan Red Bull Air Race World Campionship di Putrajaya, Sabtu. Kejohanan itu diadakan selama dua hari berakhir Ahad. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Juara aerobatik dunia Francois Le Vot memperkukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Piala Cabaran apabila mengungguli pusingan ketiga Perlumbaan Udara Dunia Red Bull 2014 di sini, Sabtu.

Pelumba Perancis berusia 44 tahun itu merangkul kemenangan ketiga berturut-turut musim ini selepas melepasi garisan penamat dengan catatan masa terpantas satu minit 26.027 saat.

Pelumba Republik Czech, Petr Kopstein muncul naib juara dengan ketinggalan 0.823 saat manakala tempat ketiga disandang oleh Daniel Ryfa dari Sweden dengan catatan masa 1:27.081s.

Le Vot membuka kempen Piala Cabaran dengan menjuarai pusingan pertama di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Mac lepas dan pusingan kedua di Rovinj, Croatia, bulan lepas.

Kejayaan hatrik itu membolehkan Le Vot menguasai kedudukan teratas dengan 30 mata, kelebihan 16 mata daripada pencabarnya Ryfa dan Kopstein di tangga ketiga dengan 12 mata.

Wakil tunggal negara Datuk Halim Othman gagal memungut sebarang mata apabila hanya mampu menduduki tangga tercorot daripada enam pelumba dengan catatan masa 1:28.913 mata.

Selepas perlumbaan itu, Le Vot berkata perlumbaan di sini paling sukar berbanding dua pusingan pertama sebelum ini.

"Tahniah kepada pasukan...harap sedikit tuah akan berterusan," katanya pada sidang media di sini.

Piala Cabaran merupakan siri terbaru diperkenalkan pada musim ini bagi membolehkan pelumba meningkatkan kemahiran melakukan penerbangan paras rendah dalam suasana pertandingan sebenar daripada acara utama, Master.

Dalam pada itu, Halim menyifatkan penampilan sulungnya bersaing dengan juruterbang profesional dalam siri dunia itu merupakan satu pengalaman untuk lebih bersedia dalam saingan seterusnya.

"Saya yakin dapat meningkatkan prestasi pada pusingan seterusnya," kata bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Halim, 48, dijadual akan menyertai dua lagi perlumbaan iaitu pusingan kelima di Ascot, United Kingdom pada 16 hingga 17 Ogos ini dan pusingan keenam di Forth Worth, Amerika Syarikat pada 6 dan 7 September ini.


Berikut keputusan pusingan ketiga:

1. Francois Le Vot (FRA) 1 minit 26.027 saat
2. Petr Kopfstein (CZE) 1:26.850s
3. Daniel Ryfa (SWE) 1:27.081s
4. Juan Velarde (SPA) 1:27.186s
5. Peter Podlunsek (SLO)(rpt Slovenia) 1:27.286s
6. Halim Othman (MAS)1:28.913s

Kedudukan Kejuaraan Dunia:

1. Francois Le Vot (FRA) - 30 mata
2. Daniel Ryfa (SWE) - 14
3. Petr Kopfstein (CZE) 12
4. Tom Bennet (GBR) - 10
5. Juan Velarde (ESP) - 10
6. Peter Podiunsek (SLO) - 8
7. Mikael Brageot (FRA) - 4
8. Luke Czepiela (POL) - 2

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain