suria

Penyokong JDT Buat Kacau Lagi

JOHOR BAHARU: Suasana di Stadium Tan Sri Hassan Yunus di sini tegang apabila penyokong Johor Darul Takzim (JDT) mencetuskan provokasi terhadap penyokong Pahang sejurus tamat perlawanan separuh akhir Piala FA, malam Isnin.

Kira-kira 1,000 penyokong tuan rumah berkumpul di pekarangan stadium sejak pukul 11 malam dan enggan bersurai lebih sejam kemudian walaupun diarah pihak polis.

Mereka menghamburkan kata-kata kesat sambil memaksa penyokong Pahang segera keluar meninggalkan stadium.

Perkara itu menyebabkan pemain dan penyokong pasukan pelawat tidak dibenar keluar dari stadium oleh pihak berkuasa bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

Kira-Kira 500 anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat cuba menenangkan keadaan meskipun tidak diendah penyokong terbabit.

Pada perlawanan itu, JDT1 seri 1-1 dengan Pahang.

Difahamkan, tindakan segelintir penyokong JDT itu berpunca daripada rasa tidak puas hati ekoran insiden selepas perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 Feb lepas.

Dalam insiden itu, bas yang membawa penyokong JDT mengalami kerosakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Superintenden Abdul Samad Salleh berkata pihaknya berjaya menyuraikan penyokong JDT hampir dua jam selepas tamat perlawanan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada terdapat sebarang tangkapan.

Sejurus selepas semua penyokong JDT bersurai, pemain serta penyokong Pahang dilihat meninggalkan stadium.

JDT, Pahang, Piala FA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain