suria

FINA 2014: Ju Hoong, Yan Yee Raih Gangsa Kedua Negara

Aksi gandingan Jun Hoong dan Yan Ye

GANDINGAN Cheong Jun Hoong dan Ng Yan Yee menambah pingat gangsa kedua negara pada pusingan keempat Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2014 di Moscow, Rusia, Sabtu.

Gandingan wanita itu, yang gagal memburu pingat pada pusingan ketiga di London, Isnin lepas, bagaimanapun menebus kekecewaan apabila mengumpul 305.40 mata dalam acara tiga meter papan anjal seirama.

Pasangan China Wu Minxia dan Shi Tingmao terus menguasai acara itu dalam siri dunia apabila merangkul pingat emas dengan catatan 330.90 mata manakala pasangan Russia, Maria Polyakova dan Kristina Ilinykh meraih pingat perak dengan catatan 311.10 mata.

Jun Hoong, yang bersaing dalam acara individu, bagaimanapun gagal menyerlah apabila menduduki tangga tercorot daripada enam penerjun dengan hanya mengumpul 295.85 mata.

Penerjun China, He Zi dan Wang Han masing-masing merangkul pingat emas dan perak dengan 377.40 dan 362.40 mata manakala pingat gangsa disandang oleh penerjun Itali, Tania Cagnotto dengan 353 mata.

Dalam pada itu, pasangan lelaki negara, Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang memperagakan aksi hambar untuk menduduki tempat terakhir daripada tujuh pasangan dalam acara tiga meter papan anjal seirama.

Pasangan negara itu hanya mampu merekodkan 385.56 mata.

Pasangan tuan rumah, Evgeny Kuznetsov dan Illya Zakharov merangkul emas dengan 463.86 mata diikuti pingat perak oleh pasangan China, He Chong dan Qin Kai (459.45 mata) manakala pingat gangsa menjadi milik Jack Laugher dan Chris Mears dari Britain dengan 421.71 mata.

Semalam, Malaysia mengutip gangsa pertama menerusi gandingan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama.

Kedua-dua penerjun itu akan bersaing dalam acara individu esok.

Artikel Berikut

Artikel Lain