suria

Pemburuan United Bermula Tanpa Menunggu Ketibaan Pengurus Baru

Edinson Cavani yang kini mewakili PSG menjadi sasaran utama Manchester United

MANCHESTER UNITED berazam untuk meneruskan dengan rancangan membeli pemain baru tanpa menunggu kedatangan pengurus baru mereka.

Ini termasuklah meninjau sama ada Paris Saint-Germain (PSG) mahu menjual penyerang mereka Edinson Cavani, 27, yang dinilaikan berharga £60 juta.

Cavani yang berasal dari Uruguay dibeli PSG dari Napoli pada harga £52.7 juta awal musim lalu adalah pemain keenam termahal di dunia tetapi mendapati peluangnya bersama PSG terbatas ekoran prestasi cemerlang Zlatan Ibrahimovic.

United yang baru sahaja memecat pengurus mereka David Moyes pada Selasa perlu menunggu sehingga tiga bulan jika mahu mendapatkan khidmat Louis van Gaal.

Van Gaal buat masa ini masih terikat dengan skuad kebangsaan Belanda sehingga selesai kempen Piala Dunia pertengahan Julai nanti.

Tempoh tersebut terlalu lama untuk menguruskan pembelian pemain baru dan United tidak mahu mengulangi situasi musim lalu yang menyaksikan mereka terlepas membeli pemain-pemain baru yang berprofil tinggi ekoran menunggu kedatangan Moyes yang hanya boleh menyertai United menjelang Jun lalu.

Pada masa yang sama, United juga yakin tawaran yang bakal mereka bentangkan di hadapan Southampton untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan Luke Shaw, 18, pada harga £30 juta adalah cukup tinggi untuk diketepikan oleh kelab berkenaan.

Shaw juga mungkin akan ditawarkan pakej gaji dan lain-lain bayaran bonus yang bakal menyaksikan pendapatan mingguannya meningkat kepada £100,000 untuk tempoh lima tahun.

United bergelut dengan pertahanan yang goyah sepanjang musim ini dan pembelian Shaw hanyalah satu langkah yang logik dan munasabah untuk mengelak malapetaka yang serupa musim depan.

Mereka perlu mencari penganti kapten pasukan Nemanja Vidic yang akan berpindah ke Inter Milan musim depan dan Rio Ferdinand, yang tidak akan diperbaharui kontrak.

United juga tidak pasti apakah Patrice Evra akan membuat keputusan untuk terus bermain dengan mereka musim depan.

Ketiga-tiga pemain pertahanan itu sudah mencecah usia lebih 30 tahun dan perlu diganti.

Ketua Pegawai eksekutif, Ed Woodward, telah dimaklumkan oleh para peninjau United yang Cavani mungkin mahu berpindah ke kelab lain musim depan dan mereka juga sekali lagi dimaklumkan yang kedudukan Cesc Fábregas juga mungkin terbuka untuk menerima tawaran baru.

United cuba membeli Fabregas musim lalu dengan menawarkan £25 juta dan kemudian membuat tawaran baru bernilai £30 juta tetapi tetap ditolak oleh Barcelona.

Kegagalan itu menyebabkan United berusaha mendapatkan Juan Pablo Mata dari Chelsea pada harga yang jauh lebih mahal iaitu  £37 juta apabila pintu perpindahan dibuka semula Januari lalu.

Selain Cavani dan Shaw, United juga sedang memburu pemain-pemain bahagian tengah seperti Marco Reus dan Ilkay Gundogan dari Borussia Dortmund, Toni Kroos dari Bayern Munich dan pemain Sporting Lisbon, William Carvalho. Kesemua mereka adalah pemain berprofil tinggi dan di pandang tinggi di Eropah.

United kekurangan daya kreativiti di bahagian tengah sehingga menjejaskan peluang mereka untuk menjaringkan gol selepas Paul Scholes bersara dan Ryan Giggs yang kini dilantik sebagai pengurus interim menjadi jurulatih ketika di bawah Moyes.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain