suria

Krisis Di Man Utd: Pemain Veteran Ryan Giggs Kini Diarah Ambil Alih Tugas

Giggs (kanan) akan mengambil alih tugas yang ditinggalkan Moyes (kiri) selepas dipecat pada Selasa.

> Pemain veteran, Ryan Giggs ambil alih tugas buat sementara waktu sehingga musim ini selesai

> Ketua Pegawai Eksekutif, Ed Woodward sendiri yang menyampaikan berita pemecatan kepada David Moyes

> Moyes mengucapkan terima kasih kepada semua staf di Carrington selepas dimaklumkan pemecatannya

> Keluarga Glazer yang menguasai saham United hilang sabar selepas United tewas kepada Everton

> United kini ditangga ketujuh liga dan akan hilang kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan

> Jurulatih Belanda, Van Gaal disenaraikan sebagai calon pilihan

APA yang telah berlaku di Manchester United pada pagi Selasa, 22 April adalah sesuatu yang belum pernah terjadi dalam sejarah kelab itu - pengurusnya dipecat sebelum musim tamat.

David Moyes bekas pengurus Everton yang dipilih secara peribadi oleh Sir Alex Ferguson untuk mengantikannya Jun lalu kini telah dipecat sebagai pengurus United.

Beliau hanya sempat 'memerintah' selama 10 bulan sahaja.

Di bawah kendaliannya, United hanya mencatatkan 52.94 peratus kemenangan - selepas bermain 51 kali, menang 27, seri 9 dan kalah  15 kali.

Ia adalah rekod yang tidak seteruk mana tetapi tidak dapat diterima dalam era United sebagai juara bertahan dan juara liga 20 kali.

Sebaik sahaja lembaga pengarah memutuskan untuk memecat Moyes sebelum keadaan menjadi semakin teruk, mereka telah menghubungi jurulatih pasukan kebangsaan Belanda sekarang, Louis van Gaal sebagai penganti.

van Gaal memenangi kejuaraan liga di setiap kelab yang beliau urus sepanjang kariernya. Yang terakhir ialah bersama Bayern Munich pada 2010.

Cuma masalahnya van Gaal tidak dapat menyertai United serta merta kerana komitmennya bersama skuad Belanda pada Piala Dunia Jun ini.

Sebagai langkah interim, Ryan Giggs yang sudah pun di dalam separa persaraan sebagai pemain telah dilantik selaku pengurus sementara sehingga musim ini selesai. Menurut laporan media Britain, dia akan dibantu oleh seorang lagi bekas bintang United, Nicky Butt yang kini adalah jurulatih skuad Bawah-18 Tahun.

Moyes yang menandatangani kontrak selama enam tahun ketika menyertai United tahun lalu dijangka akan menerima pampasan yang besar memandangkan beliau masih mempunyai baki lima tahun lagi.

Keadaan juga masih samar apakah yang akan terjadi kepada skuad jurulatih yang dibawa masuk oleh Moyes dari Everton seperti Steve Round, Phil Neville, Jimmy Lumsden dan Chris Woods - sama ada mereka juga akan turut meninggalkan United.

Bagaimanapun selepas United tewas 0-2 di tangan Everton Ahad lalu, Moyes sudah boleh merasakan yang dirinya adalah terlalu kerdil untuk mengisi aura yang ditinggalkan oleh Ferguson walaupun dia adalah pilihan peribadi bekas pengurus berbangsa Scot itu.

Akhbar The Daily Mail begitu yakin dengan maklumat yang mereka perolehi sehinggakan berani untuk meletakkan tajuk berita "Moyes Dipecat" semalam.

The Mail Online juga telah menyenaraikan segala pencapaian pertama Moyes sebagai pengurus United dalam tempoh 10 bulan ini tetapi semuanya dalam bentuk yang negatif iaitu;

> Di bawah Moyes, Everton buat pertama kalinya menewaskan United di tempat sendiri dan di tempat lawan sejak musim 1969-70;

> Di bawah Moyes, Everton dan Liverpool buat pertama kalinya menewaskan United dalam satu musim;

> Di bawah Moyes, Man City dan Liverpool buat pertama kalinya menewaskan United di tempat sendiri dan lawan dalam satu musim sejak Liga Perdana diperkenalkan;

> Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya melepaskan gol seawal minit pertama (Edin Dzeko untuk Man City);

> Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya akan mengakhiri musim dengan mata terkumpul paling rendah dalam sejarah;

> Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah sejak 1995;

> Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut sejak 2001;

> Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya tersingkir dalam saingan Piala FA di pusingan ketiga;

> Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya tewas di tempat sendiri kepada Swansea;

> Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya tewas di tangan Newcastle sejak 1972;

> Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya tewas kepada West Bromwich di tempat sendiri sejak 1978;

> Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya ditewaskan oleh Stoke City sejak 1984.

Manchester United kini hanya mempunyai empat perlawanan liga sahaja lagi untuk menyelamatkan maruah mereka yang tercalar iaitu menentang Norwich City pada 26 April;  Sunderland (3 Mei); Hull City (6 Mei) dan Southampton (11 Mei).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain