suria

Mutu Pengadilan Liga Malaysia Semakin Merosot - TMJ

KUALA LUMPUR: Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengulangi gesaan supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperbaiki mutu pengadilan Liga Malaysia yang dikatakan semakin merosot.

Baginda yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) kecewa dengan kelemahan mutu pengadilan aksi Liga Perdana antara Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan UiTM FC pada Sabtu lalu, bagaimanapun menyelar tindakan pengurus pasukan JDT II, On Jabbar yang dikatakan bertindak menumbuk muka pengadil, Sukri Abdul Rahman selepas perlawanan berkenaan.

"Bagaimanapun, saya tetap menyebelahi beliau (On) dan mengakui akan sumbangan beliau kepada negeri dan PBNJ serta saya amat memahami akan kekecewaannya.

"Oleh itu, seluruh negara dapat melihat betapa lemahnya mutu pengadilan yang berada di bawah pengurusan FAM. Pengadil ini merupakan pengadil yang sama yang terlibat dalam kontroversi (aksi Liga Super antara JDT) dengan pasukan Sarawak).

"Saya berharap bahawa kita dapat melihat peningkatan dalam mutu pengadilan untuk semua perlawanan pada masa akan datang supaya insiden seperti ini tidak berulang lagi," kata baginda sebagai dipetik daripada laman facebook rasmi JDT, Isnin.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor turut mencadangkan supaya FAM menubuhkan struktur pengadilan profesional sambil menawarkan kesediaan baginda sekiranya badan induk bola sepak kebangsaan itu kekurangan sumber untuk melaksanakan perkara berkenaan.

Pada perlawanan berkenaan, On dikatakan telah menumbuk muka Sukri selepas berang dengan beberapa keputusan yang disifatkan berat sebelah oleh Sukri selain menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong tuan rumah. Perlawanan itu berkesudahan seri 2-2.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan sebagai berkata bahawa mereka telah menerima laporan rasmi perlawanan berkenaan daripada pesuruhjaya perlawanan. 


Artikel Lain