suria

Ramdan Misbun Juarai Terbuka Pertama 2014

BEKAS juara kebangsaan, Misbun Ramdan Misbun menjuarai sirkit antarabangsanya yang pertama tahun ini dengan menewaskan pemain Poland Adrian Dziolko 15-21; 21-18;21-16 pada Terbuka Romania, Ahad. 

Kemenangan itu akan membuka peluang yang lebih luas untuk dia merebut tempat dalam skuad Piala Thomas Rabu ini.

Ujian kelayakan untuk pemilihan itu akan berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara. 

Kemenangan Ramdan, 23,  di Romania adalah merupakan kejuaraan antarabangsanya yang kelima selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Januari tahun lalu untuk bernaung di bawah kendalian bapanya sendiri, Misbun Sidek.

Walaupun masih belum memenangi sebarang kejohanan bertaraf lima bintang tetapi Ramdan adalah pemain pelapis negara yang paling konsisten.

Pada kejohanan All-England yang baru sahaja selesai dua minggu lalu, Ramdan tewas di pusingan pertama di tangan pemain Taiwan, Chou Tien-chen.

Ramdan kini menduduki ranking pemain nombor 48 dunia dan beliau merupakan salah seorang daripada lima pemain bebas yang dipanggil untuk menjalani ujian kelayakan pemilihan pemain yang bakal mewakili negara ke Kejohanan Piala Thomas nanti.

Selain Ramdan, lain-lain pemain bebas yang turut dipanggil menjalani ujian itu ialah Zulfadli Zulkifli, Arif Abdul Latif, Chan Kwong Beng dan Tan Chun Seang.

Manakala pemain ujian kelayakan yang akan mewakili BAM pula ialah Iskandar Zulkarnain dan Goh Soon Huat.

Hanya seorang sahaja dari kalangan mereka yang akan terpilih untuk mengiringi pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng (pemain no. 14 dunia) dan Liew Darren (pemain no. 40 dunia) ke pusingan akhir nanti yang akan berlangsung di New Delhi dari 18-25 Mei depan. 

Artikel Lain