suria

Moto 2: Pelumba AirAsia-Caterham Sedia Diuji

Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi (kiri) bergambar bersama pelumba AirAsia-Caterham Moto Racing, Johann Zarco (tengah) dan Josh Herrin. Foto: RICKY LAI/The Star

KUALA LUMPUR: Pelumba AirAsia-Caterham Moto Racing, Johann Zarco yakin pasukan serta jentera baharunya musim ini bakal memberi impak positif pada aksi Moto 2 Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP).

Tahun ketiga beraksi dalam kategori ini, Zarco, 24, mahu membuktikan sesuatu pada musim ini biarpun sedar saingan yang bakal dilaluinya bukan mudah.

"Sudah tentu setiap pelumba mahukan kemenangan dan setakat ini saya menyasarkan untuk melakukan yang terbaik pada pusingan pertama MotoGP di Qatar bermula 23 Mac ini.

"Walaupun pasukan ini baharu pertama kali membuat kemunculan tahun ini, saya tetap yakin dengan persiapan jentera dan pasukan mekanik sudah pun melakukan yang terbaik," katanya kepada media selepas pengenalan jentera AirAsia-Caterham Moto Racing, Selasa.

Pelumba kelahiran Perancis yang beraksi bersama pasukan Came Iodaracing Project sebelum ini berkata, dia telah menguji jentera baharunya itu.

"Pada Februari lalu, kami menguji jentera di dua litar yang berbeza. Setakat ini semuanya berjalan lancar dan saya tidak terlalu mengharapkan kesempurnaan kerana ia sebuah pasukan baharu.

"Pun begitu kami masih ada satu sesi ujian terakhir sebelum ke Qatar dan saya yakin ianya akan bermula dengan baik.

"Musim perlumbaan panjang, kami tidak mahu terlepas sebarang pusingan dan dengan itu saya mahu memastikan setiap aksi dapat diteruskan dengan baik. Di atas kertas, secara keseluruhan kami sudah bersedia, namun realitinya bukan mudah seperti yang dijangka.

"Dalam kategori tersebut, saya tidak pernah menjuarai mana-mana pusingan sebelum ini, dan jika mampu lakukan tahun ini, itu sesuatu yang bagus buat diri saya dan juga Air Asia," katanya yang bergandingan dengan pelumba Amerika Syarikat, Josh Herrin.

Sementara itu, principal pasukan, Mia Shazriman berkata, selepas dua tahun perancangan dalam penubuhan pasukan ini, akhirnya ia berjaya dilaksanakan.

"Sukan pemotoran adalah penglibatan terbaharu Kumpulan Caterham dan kami percaya akan menjadi satu projek jangka panjang.

"Saya percaya kerjasama Air Asia dalam pasukan Moto 2 adalah langkah proresif dan akan memberi peluang dari segi pembangunan bagi pelumba-pelumba di Asia," katanya.

Air Asia tidak asing lagi dalam dunia pemotoran apabila turut menjadi penaja kepada pelumba Moto 3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin sejak tahun 2009 dengan pasukan AirAsia-SIC.

Caterham, moto2, motgp, malaysia

Artikel Lain