suria

Annuar Musa Anggap Pandangan AFC Mengenai Keanggotaannya Dalam JPBSN Jelas

KUALA LUMPUR: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pandangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) adalah jelas mengenai pelantikannya dalam Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara (JPBSN).

Annuar dalam laman sosial Facebooknya pada Selasa, berkata bukan beliau yang tidak boleh berada dalam jawatankuasa berkenaan sebaliknya wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Tindakan Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin) melantik semua pihak pada awalnya membuktikan beliau tidak berpihak kepada sesiapa pun dan mahu semua pihak mengambil bahagian tanpa mencampuri urusan dalaman persatuan.

"Tepatlah pandangan FIFA yang juga merasakan isu ini adalah hal dalaman yang boleh diselesaikan menurut peraturan sedia ada tanpa perlu mereka campuri sebab tiada sebarang campur tangan dalam urusan persatuan itu sendiri," katanya.

Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya menjalankan tugasnya bersama Kementerian Pendidikan dan lain-lain terutama dalam memajukan pembangunan bola sepak yang rata-rata melibatkan murid berumur 7 hingga 17 tahun, di samping membina jenama dan corak baharu permainan bola sepak Malaysia. Annuar berkata, Khairy tidak dapat melakukan pembangunan itu sewaktu menjadi Timbalan Presiden FAM dan beliau komited untuk melakukannya sekarang ketika 'berkuasa' di KBS.

"Kebetulan saya juga begitu...jadi sekarang, jawatankuasa teruskan peranan mereka sementara saya terus mengambil sikap terbuka dan akan cuba untuk bertemu mata dengan pihak FAM dan AFC sendiri. "Kesemua mereka telah saya hubungi dan mohon untuk mengadakan perbincangan demi kebaikan bola sepak Malaysia," katanya. Annuar pada Isnin lepas, berkata beliau akan menunggu keputusan Khairy berhubung status keanggotaannya dalam jawatankuasa tersebut kerana ia terletak di bawah bidang kuasa KBS.

Sebelum itu, laporan akhbar pada Ahad, menyebut wakil FAM tidak dibenarkan melibatkan diri dalam jawatankuasa tersebut selagi Annuar menganggotainya.

Annuar sebelum ini menerima surat pelantikan untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan daripada KBS, bagaimanapun FAM mendakwa pelantikan tersebut tidak sah memandangkan beliau masih menjalani tempoh penggantungan bermula April tahun lepas dan akan berakhir pada 4 Oktober 2014.

Annuar yang juga Timbalan Presiden badan induk bola sepak kebangsaan itu, digantung selepas didapati bersalah melanggar Artikel 88 FAM yang memperuntukkan hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM boleh memberi kenyataan media berhubung skuad bola sepak kebangsaan. -BERNAMA

Artikel Lain