suria

Atlet Perlu Rujuk Doktor Sebelum Ambil Sebarang Ubat

KEMAMAN: Atlet Terengganu diingat lebih berhati-hati ketika mengambil sebarang ubat kerana dikhuatiri mengandungi bahan terlarang.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata mereka perlu mendapatkan mendapatkan nasihat atau kebenaran doktor terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

"Atlet jangan membeli ubat sewenang-sewenangnya di kedai ubat kerana ia mungkin mengandungi bahan terlarang, yang akan menyebabkan saringan yang dibuat didapati positif mengandungi bahan terlarang," katanya mengulas isu pelumba basikal Terengganu, Ahmad Fallanie Ali, 30, yang disahkan positif menggunakan bahan terlarang ketika Kejohanan Lumba Basikal Jelajah 1Malaysia 2013 Jun lepas.

Atlet berkenaan gagal ujian doping yang dijalankan secara rawak oleh pihak Jawatankuasa Anti-Doping Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysiaak ke atas beberapa pelumba basikal.

Sampel air kencing Ahmad Fallanie didapati mencatat bacaan tidak normal bagi methandienone metabolit, yang merupakan steroid anabolik.

Ahmad berkata tidak ada kompromi dalam isu itu kerana penggunaan bahan terlarang oleh atlet mampu mencemar imej sukan berbasikal di mata dunia.

Sehubungan itu, beliau berharap semua atlet Terengganu memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang pengambilan bahan terlarang kerana ia merugikan kerjaya dan masa depan mereka sendiri.

Kali terakhir sukan berbasikal negara 'digegar' dengan masalah doping ialah pada 2009, melibatkan pelumba lebuh raya Mohd Fauzan Ahmad Lutfi yang didapati positif anabolik steroid di Kejohanan Mini Olimpik.

Atlet berkenaan kemudian digantung selama dua tahun.

Kes pertama melibatkan seorang lagi pelumba, Razif Salleh, pada 2006 yang didapati mengambil steroid. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain