suria

Chong Wei, Lin Dan Laung Amaran Untuk Raih Gelaran Dunia

Chong Wei berseloroh dengan pesaingnya dari China, Lin Dan (kanan) sebelum Kejohanan Badminton Dunia 2013 bermula.
Chong Wei berseloroh dengan pesaingnya dari China, Lin Dan (kanan) sebelum Kejohanan Badminton Dunia 2013 bermula.
Chong Wei berseloroh dengan pesaingnya dari China, Lin Dan (kanan) sebelum Kejohanan Badminton Dunia 2013 bermula.

GUANGZHOU: Belum pun Kejohanan Badminton Dunia 2013 bermula, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dan musuh tradisinya, Lin Dan dari China, masing-masing melaungkan amaran betapa mereka serius untuk meraih gelaran dunia itu.

Bagi jaguh badminton negara, beliau tidak menyembunyikan impiannya itu walaupun menyedari ia bukan satu tugas yang mudah apabila kejohanan berkenaan membuka tirai di Gimnasium Tianhe, pada Isnin.

Lin Dan, juara dunia sebanyak empat kali, yang hampir setahun tidak beraksi pada kejohanan utama selepas memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London, turut senada memberi 'ingatan' kepada lawannya bahawa misinya tetap sama untuk mempertahankan gelaran yang dimenanginya dua tahun lepas di Wembley.

Dalam sidang media bersama Lin Dan, Chong Wei berkata beliau begitu 'dahagakan' kemenangan pada kali ini, setelah hampir melakukannya di Wembley apabila terpaksa akur kepada musuh ketatnya itu di perlawanan akhir.

"Kejohanan (Dunia) adalah penting kepada semua pemain dan saya hampir memenangi kejuaraan tetapi kalah di final (pada 2011). Kali ini saya akan melakukan yang terbaik untuk memenangi kejuaraan," katanya.

Bagi Lin Dan, beliau berkata beliau kembali ke kejohanan kompetatif di sini sebagai 'wild card' yang menandakan hasratnya yang kuat untuk memenangi kejuaraan buat kali kelima.

"Selepas setahun, saya kembali dan ini menunjukkan saya serius untuk menang dan mempertahan kejuaraan dunia. Saya telah membuat persediaan yang baik," kata 'Super Dan' ini.

Kedua-dua musuh tradisi ini dijangka bertemu di pentas akhir jika mereka berjaya melepasi halangan masing-masing, setelah diundi dalam bahagian yang berbeza pada kejohanan berkenaan.

Selepas sidang media itu, kedua-dua pemain berkenaan bersalaman walaupun jauh di lubuk hati masing-masing, menyimpan hasrat untuk muncul sebagai pemain terbaik kejohanan.

Cabaran Chong Wei akan bermula esok dengan berdepan pemain bukan pilihan dari Scotland, Scott Evans pada pusingan pertama dan beliau dijangka bertemu pemain muda Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka pada pusingan kedua.

Cabaran getir Chong Wei dijangka bermula pada pusingan ketiga apabila beliau bakal berdepan pemain sedang meningkat dari China, Wang Zhengming yang juga merupakan pemain nombor 14 dunia.

Jika Chong Wei berjaya melepasi halangan tersebut, beliau dijangka bertemu sama ada pemain nombor lapan dunia, Tommy Sugiarto dari Indonesia atau pilihan ke-11, Marc Zwiebler dari Jerman, sebelum berdepan pemain nombor tiga dunia, Du Pengyu dari China di peringkat separuh akhir. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain