suria

Piya Akan Diberi Surat Tunjuk Sebab Kerana Gagal Lapor Diri

PETALING JAYA: Kapten Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi berkemungkinan dikenakan tindakan tegas selepas gagal melaporkan diri untuk sesi latihan pusat skuad kebangsaan yang diadakan sejak Khamis di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini.

Pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai 'Piya' mendakwa berlaku kelewatan penerbangan dari Kota Baru ke Kuala Lumpur, semalam namun ia bukanlah alasan kukuh yang boleh diterima.

"Kita (FAM) akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Piya esok dan beliau perlu menjawab surat berkenaan dalam tempoh terdekat.

"Piya akan diberikan peluang untuk memberikan alasan kukuh punca beliau tidak melaporkan diri...sekiranya alasan itu tidak munasabah, maka kita tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan tegas kepadanya," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad Harimau Malaya di sini, Jumaat.

Piya merupakan antara 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal untuk sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA 2013 bagaimanapun membayangkan tidak dapat menjalani sesi latihan tersebut kerana mendakwa mengalami kecederaan hamstring pada aksi terakhir Liga Super menentang Lions XII FC dari Singapura di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Sabtu lepas.

Mengulas lanjut, Subahan yang juga Naib Presiden FAM berkata, ketiadaan perancang tengah pasukan Kelantan itu tidak akan menjejaskan persiapan mereka untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan memandangkan Rajagobal sudah mempunyai pemain gantian.

"Piya ini merupakan salah seorang pemain yang berpotensi tetapi kalau beliau tiada, kita akan menggunakan khidmat pemain lain...Kita tidak hanya memberikan tumpuan kepada seseorang pemain sahaja," katanya.

Sementara itu, Rajagobal berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengurusan FAM mengenai kewajaran memanggil Mohd Badhri untuk sesi latihan pusat akan datang.

"Saya tidak mahu membuat kesimpulan awal mengenai kegagalan beliau (Piya) melaporkan diri untuk sesi latihan pusat...Saya akan bincangkan dengan pihak pengurusan FAM mengenai isu ini," katanya.

Pada masa yang sama, Rajagobal berkata penyerang, Mohd Safee Sali yang mengalami kecederaan pangkal paha kiri dijangka kembali meneruskan latihan dalam beberapa hari lagi manakala Safiq Rahim yang mengalami kecederaan kaki dijangka memerlukan masa pemulihan yang panjang.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang kelab Liga Perdana Thailand, Chonburi FC pada 16 Julai ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC di Stadium Shah Alam, lima hari kemudian.

Mereka kemudian akan berkunjung ke Jepun menentang dua kelab Divisyen Satu iaitu Shimizu S-Pulse (25 Julai) dan Shonan Bellmare (27 Julai) sebelum menamatkan aksi persahabatan menentang kelab Divisyen Dua, Tokyo Verdy pada 31 Julai.

Sekembalinya mereka dari negara Matahari Terbit itu, skuad Harimau Malaya akan menentang kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona di Stadium Nasional pada 10 Ogos ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain