suria

Annuar Sifatkan Azzuddin Masih Bersikap Seperti Jeneral Tentera Dalam FAM

Annuar Musa.
Annuar Musa.
Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KFA), Tan Sri Annuar Musa membidas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad kerana bersikap seperti seorang 'jeneral tentera' dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Bekas Timbalan Presiden FAM itu berkata, masalah yang berlaku dalam FAM sekarang adalah kerana Leftenan Jeneral bersara itu merasakan masih berkhidmat dalam tentera walaupun sudah lama bersara.

"FAM bukan batalion tentera sebaliknya ia lebih unik daripada itu. Dalam FAM ada exco yang dipilih dan dalam bola sepak juga ada pemegang kepentingan termasuk penyokong, penaja, kementerian, ahli gabungan dan lain-lain yang cukup berbeza dengan tentera," katanya menerusi laman sosial Facebook beliau pada Jumaat.

Ketegasan Azzuddin itu yang sentiasa 'mempertahankan' FAM telah menyebabkan tiga presiden persatuan negeri dihukum kerana mengkritik badan induk itu.

Tiga presiden berkenaan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim dan Annuar sendiri.

Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian besar anggota gabungan FAM dan peminat bola sepak tempatan.

Annuar berkata, jawatan setiausaha agung FAM bukan dipilih menerusi pengundian daripada exco FAM sebaliknya ia dilantik dan dibayar gaji.

"Justeru tanggungjawab (setiausaha agung) bukan sekadar kepada presiden tetapi kemajuan keseluruhan bola sepak itu sendiri kerana dalam ketiadaan kongres dan exco, urusetialah yang berkuasa," katanya.

Annuar turut mempersoal kenapa Sekretariat FAM perlu mempunyai antara 70 dan 80 petugas sedangkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang bersaing di taraf dunia hanya mengambil kurang daripada 10 petugas.

"Paling tidak masuk akal gaji sesetengah pegawai (FAM) lebih tinggi daripada gaji jeneral, malah mungkin lebih tinggi daripada gaji menteri," katanya.

Beliau mendakwa kos pentadbiran dan pengurusan FAM mencecah puluhan juta ringgit tetapi anggota gabungan kekeringan wang walaupun mendapat wang tajaan berpuluh juta yang tidak sampai kepada mereka sedangkan hak pasukan seperti hak penyiaran telah dijual.

"Malaysian Super League (MSL) ditutup tetapi Urusetia FAM menambah bilangan jabatan mereka dan akhirnya FAM berada dalam ketidakcukupan wang menyebabkan ahli gabungan yang merana," katanya.

Beliau berkata, bola sepak Malaysia sedang menghadapi masalah yang jauh lebih besar, malangnya Urusetia FAM masih tidak nampak dan presiden FAM pula yang terpaksa memikul bebanannya.

"Walaupun sudah tiga presiden negeri digantung kerana melanggar peraturan FAM, suara teguran akan terus berkumandang kerana FAM bukan ATM (Angkatan Tentera Malaysia)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain