suria

Cub Prix: HLYM Umum 18 Muka baru Untuk Perlumbaan Satu Pengeluar Yamaha

HONG Leong Yamaha Malaysia Sdn Bhd (HLYM) mengumumkan seramai 18 orang pelumba telah terpilih dari 48 orang calon untuk beraksi di dalam Siri Super Yamaha 135 PETRONAS 2013 yang akan berlangsung serentak dengan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini.

Kesemua pelumba dipilih berdasarkan saiz fizikal, kekuatan mental, faktor pasaran, kebolehan dan skil tunggangan melalui dua proses saringan.

Saringan peringkat pertama di adakan di ibu pejabat HLYM di Sungai Buloh, Selangor dan peringkat akhir di Litar Antarabangsa Melaka (MIMC) bulan lalu.

Turut hadir memberi bimbingan kepada pelumba sepanjang proses pemilihan tersebut adalah Juara Cub Prix 2003, Shahrun Nizam Tamin dan juga pelumba utama Yamaha, Mohd Zamri Baba yang kini terlibat dalam Kejuaraan Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC).

Jika sebelum ini, pasukan-pasukan Yamaha menggunakan pentas satu-pengeluar ini bagi melatih pelumba mereka yang baru setahun jagung beraksi di dalam Kejuaraan Cub Prix, kali ini pihak HLYM memilih muka-muka baru yang terdiri dari peminat tegar sukan permotoran negara yang telah mendaftar diri dengan promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM).

Kesemua 18 pelumba ini akan berentap sesama sendiri di atas jentera Yamaha 135LC yang telah diubah-suai mengikut spesifikasi perlumbaan dan setiap pelumba akan bertukar-tukar jentera sepanjang musim bagi meningkatkan lagi skil tunggangan mereka.

"Program ini secara asasnya adalah sebuah sekolah perlumbaan yang terdiri dari : 18 pelumba, 12 mata pelajaran dan 10 perlumbaan.

"Setakat ini para pelumba telah diberi peluang belajar secara interaktif dan selepas ini mereka akan merasai beraksi dalam perlumbaan sebenar di seluruh negara," jelas Pengurus Sukan Permotoran HLYM, Melvin Tan. “Tamat sahaja ‘pengajian’ mereka di penghujung musim nanti, pelumba yang cemerlang akan diberi ruang untuk meneruskan karier mereka bersama kem-kem Yamaha yang terpilih.

Paling menarik, program ini adalah percuma. Biasanya kos untuk program seperti ini mampu mencecah sehingga RM30,000 setiap orang. Selain itu jentera lumba, sut perlumbaan dan helmet turut disediakan oleh HLYM.

"Pelumba hanya perlu hadir ke setiap pusingan dan bayar insuran sejumlah RM1,500 dan menyediakan sarung tangan, but perlumbaan dan pelindung badan.” Hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com untuk maklumat lanjut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain