suria

Chong Wei Dijangka Mudah Melangkah Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dijangka mendapat laluan mudah ke peringkat suku akhir apabila dijadual bertemu pemain India, R.Gurusaidutt pada perlawanan ketiga saingan awal Kejohanan Terbuka Australia.

Perlawanan itu dijadual berlangsung di Sydney Convention and Exhibition Centre pada Khamis.

Pada perlawanan pusingan kedua pada Rabu, Chong Wei selaku pilihan pertama tidak perlu bekerja keras untuk membenam pemain Indonesia, Prasojo Adi Andrianus, 21-7, 21-7 dalam tempoh 37 minit.

Dua pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Fang dan Liew Daren turut mengiringi Chow Wei ke perlawanan ketiga esok selepas berjaya mengalahkan lawan masing-masing.

Liew Daren, yang disebut-sebut sebagai pengganti Chong Wei, beraksi cemerlang apabila hanya mengambil masa 34 minit untuk menewaskan pemain Indonesia, Riyanto Subagja dengan kutipan mata 21-19, 21-15.

Terdahulu Chong Wei Fang mengalahkan rakan senegara, K.Yogendran 21-17 21-14.

Sementara itu, nasib tiga pemain perseorangan wanita iaitu Sonia Cheah, Jing Yi Tee dan Li Lian Yang bagi merebut slot ke suku akhir akan ditentukan pada perlawanan kedua pada Khamis.

Turut mara ke pusingan kedua ialah pasangan beregu lelaki negara, Kien Keat Koo/Boon Heong Tan yang akan bertemu pemain China, Kaixiang Huang/Jianqi Tao.

Manakala beregu wanita negara, Vivian Kah Mun Hoo/Khe Wei Woon mendapat laluan mudah ke pusingan suku akhir apabila pasukan tuan rumah Verdet Kessler/Talia Saunders menarik diri.

Beregu campuran negara, Aik Quan Tan/Pei Jing Lai pula akan bersemuka dengan beregu China Li Junhui/Dongni Ou. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain