suria

All England: Liew Daren Ketuai Senarai Pemain Negara Tersingkir Pada Pusingan Pertama

KUALA LUMPUR: Pemain nombor dua negara Liew Daren merupakan antara beberapa wakil negara tersingkir awal selepas mempamerkan aksi mengecewakan pada pusingan pertama Kejohanan All England di National Indoor Arena, Birmingham, England, Rabu.

Daren berjaya mencuri satu set dalam aksi menentang pemain pilihan kelima, Chen Jin dari China sebelum kalah 15-21, 21-19, 11-21 dalam perlawanan yang berlarutan sehingga 67 minit.

Seorang lagi pemain peseorangan lelaki negara, Tan Chung Seang turut mengalami nasib sama apabila tunduk kepada pemain pilihan kelapan, Nguyen Tien Minh dari Vietnam dengan keputusan 12-21, 21-15 dan 15-21.

Turut ditunjukkan jalan keluar ialah Chong Wei Feng yang kalah kepada pemain muda Denmark, Jan O Jorgensen 21-11, 21-14.

Bagaimanapun, jaguh negara Datuk Lee Chong Wei, yang memburu kejuaraan hatrik selepas edisi 2010 dan 2011, akan membuka kempen pada lewat malam Rabu dengan menentang pemain muda Hong Kong, Wing Ki Wong.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan nombor dua dunia, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong menempah slot ke pusingan kedua selepas mengalahkan beregu England, Chris Adcock dan Andrew Ellis 21-19 dan 24-22.

Langkah mereka bagaimanapun gagal dituruti oleh beregu Gan Teik Chai dan Ong Soon Hock yang kalah 12-21, 12-21 kepada pasangan dari Taiwan, Chen Hung Ling dan Lu Chia Bin.

Dalam acara beregu wanita, pasangan Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas mengalahkan beregu Sweden, Emelie Lennartsson dan Emma Wengberg 21-11 dan 21-13.

Pasangan adik beradik Ng Hui Lin dan Ng Hui Ern bagaimanapun gagal melangkah ke pusingan kedua selepas kalah kepada pilihan utama kejohanan, Wang Xiaoli dan Yu Yang dari China dengan keputusan 15-21, 16-21.

Bagaimanapun, Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara perseorangan wanita selepas gagal dalam peringkat kelayakan. - BERNAMA

Artikel Lain