suria

All England: Chong Wei Mara Ke Pusingan Kedua

BIRMINGHAM: Pemain badminton perseorangan Nombor 1 Dunia Datuk Lee Chong Wei terselamat dalam pertarungan mendebarkan menentang Wong Wing Ki dari Hong Kong sebelum melayakkan diri ke pusingan kedua All-England di National Indoor Arena pada hari yang penuh kekecewaan, Khamis.

Chong Wei terpaksa berhempas pulas menewaskan Wing Ki 13-21, 21-6, 23-21 dalam perlawanan pembukaan selama 49 minit sebelum melayakkan diri menentang bekas juara remaja dunia Wang Zhengming dari China.

Perlawanan ini mungkin boleh menjadi penamat untuk Chong Wei ketika dia ketinggalan 20-21 dalam set penentuan tetapi Wing Ki yang berusia 22 tahun terlepas peluang apabila dia melakukan 'smash' di jaring dan membolehkan Chong Wei berada pada kedudukan 21 -21.

Chong Wei, kemudiannya bertahan untuk memenangi perlawanan.

Chong Wei Juara All-England sebanyak dua kali ini berkata dia hanya bernasib baik memenangi perlawanan ini. "Tuhan menyebelahi saya semalam. Saya bernasib baik apabila Ki Wing terleka pada titik penting atau yang lain, saya mungkin akan menjadi salah seorang bintang yang menjadi mangsa pada perlawanan All-England hari ini," katanya.

Artikel Lain