suria

MGF Kecewa Gimnastik Tidak Tersenarai Dalam Suka Sea Myanmar

KUALA LUMPUR: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) meluahkan rasa kecewa selepas acara gimnastik tidak tersenarai dalam temasya Sukan SEA Myanmar 2013 pada 11 hingga 2 Dis ini.

Setiausaha Kehormat MGF, N.Shanmugarajah berkata Sukan SEA merupakan temasya yang menyediakan peluang kepada gimnas negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Semua negara bertanding pada Sukan SEA mahu menjadikan ia sebagai medium persediaan mereka ke sana (Sukan Olimpik) dan keputusan yang diambil oleh Myanmar amat mengecewakan kami.

Semua jenis sukan yang tersenarai dalam Sukan Olimpik tidak seharusnya digugurkan oleh tuan rumah Sukan SEA," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau berkata kebanyakkan gimnas negara telah menjalani latihan berterusan bagi menghadapi temasya dwitahunan itu dan berikutan ketiadaan acara sukan itu di Myanmar maka gimnas negara menghadapi masalah kekurangan kejohanan.

Shanmugarajah berkata pencapaian gimnas kebangsaan sekarang agak baik, namun tidak cukup persaingan atau kejohanan yang membolehkan MGF menilai pencapaian mereka.

Menurutnya, usaha dan latihan yang dilakukan oleh para gimnas selama ini adalah sia-sia namun mereka tetap meneruskan latihan untuk ke temasya Sukan Sekolah-Sekolah Asean di Vietnam pada 22 Jun hingga 2 Julai ini.

"Saya harap mereka dapat buktikan keupayaan mereka menyaingi para atlet gimnastik dari negara lain di temasya sukan tersebut," katanya.

Sukan gimnastik telah digugurkan daripada Sukan SEA 2013 dan digantikan dengan sukan yang tidak tersenarai dalam Sukan Olimpik.

Myanmar hanya memilih jenis sukan yang mereka miliki kekuatan dan bersesuaian dengan budayanya dan menyenaraikan 21 daripada 33 acara yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara Eropah

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain