suria

Harimau Malaya Miliki Semangat Juang Tinggi

KEMAMAN: Tentangan sengit Harimau Malaya kepada Qatar dalam kelayakan Piala Asia 2015 Rabu lalu membuktikan pasukan negara mempunyai semangat juang yang tinggi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata walaupun pasukan negara turun tanpa beberapa tonggak utama, namun mereka dapat mempamer permainan yang baik dan memberi tentangan yang hebat kepada Qatar.

Dalam perlawanan pertama Kumpulan D di Stadium Al-Sadd, Doha, Qatar itu, Malaysia kalah 0-2.

Namun beliau berkata ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal perlu berbuat sesuatu untuk skuad negara menentang Bahrain dan Yaman pada perlawanan seterusnya.

"Jika diamati, pasukan Qatar tidak sepatutnya memperolehi dua gol berkenaan kerana ianya diperolehi tanpa penggunaan keupayaan sebenar pasukan itu, malah ianya merupakan lebih sedikit kepada nasib.

"Namun pada keseluruhannya, pasukan negara perlu akur dan menerima dengan lapang dada keputusan tersebut yang mencerminkan ranking sebenar pasukan Harimau Malaya yang menduduki tangga ke-158 dunia dan Qatar bawah 100," katanya.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat kawasan Parlimen Kemaman yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dan Pemuda Malaysia malam Sabtu.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang disertai lebih 10,000 rakyat yang dihiburkan dengan persembahan artis, tarian singa, pancaragam dan bunga api.

Mengulas lanjut perlawanan itu, beliau berkata terdapat perbezaan antara corak permainan pasukan Malaysia dan Qatar dari sudut keupayaan, kepantasan, teknik pengawalan bola serta kecerdasan pemain.

Pasukan negara perlu diberikan latihan membina kemahiran yang berterusan termasuk aspek pemakanan yang berkhasiat untuk dapat bersaing dengan lain-lain pasukan, katanya.

"Saya berharap Rajagobal dapat mengatur strategi yang rapi dan diharap mampu menundukkan Yaman dan Bahrain nanti," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain