suria

Tujuh Stadium Dibenar Anjur Perlawanan Liga M Waktu Malam

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi lampu hijau kepada tujuh buah stadium untuk menganjurkan perlawanan Liga Malaysia pada waktu malam selepas didapati mematuhi peraturan kecerahan 1,000 lux untuk lampu limpah seperti yang ditetapkan.

Tujuh stadium berkenaan ialah Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan; Stadium Shah Alam, Selangor; Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan; Stadium Darul Makmur, Pahang; Stadium Negeri Sarawak; Stadium Darul Aman, Kedah dan Stadium Jalan Besar, Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata selain di tujuh stadium berkenaan, perlawanan perlu diadakan pada sebelah petang.

"Kita membenarkan pasukan Perak untuk bermain di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut pada waktu petang ekoran Stadium Perak ditutup untuk kerja-kerja penambahan fasiliti.

"Kita akan melaksanakan pemeriksaan di stadium yang berhasrat untuk beraksi pada waktu malam sekiranya mereka mematuhi peraturan kecerahan 1,000 lux, selepas melalui proses penambahbaikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT di Wisma FAM di sini Khamis.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata antara stadium yang akan menganjurkan perlawanan pada waktu petang ialah Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Stadium Tan Sri Hassan Yunos dan Stadium Hang Jebat.

Yang akan turut menganjurkan perlawanan waktu malam ialah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Stadium Universiti Utara Malaysia, Stadium Likas Sabah dan Stadium UiTM Arau.

Dalam perkembangan lain, Hamidin melahirkan rasa gembira di atas kemampuan persatuan bola sepak negeri dan kelab untuk mengurangkan jumlah bayaran tunggakan cukai dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari tahun ke tahun.

Beliau berkata jumlah tunggakan KWSP dan cukai yang mencecah hampir RM12 juta pada 2009 telah menurun kepada RM2.4 juta pada 2010, RM2.1 juta pada 2011 dan RM 1.3 juta tahun ini.

"Ini semua hasil kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan yang memberikan kerjasama padu kepada FAM bagi memastikan persatuan bola sepak negeri dan kelab melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mencarum bagi pihak pemain," katanya.

Hamidin turut mengingatkan bahawa badan induk bola sepak kebangsaan itu tidak teragak-agak untuk memotong jumlah geran tahunan yang diberikan kepada persatuan bola sepak negeri dan kelab sekiranya mereka gagal menjelaskan caruman KWSP para pemain tahun depan.

Sementara itu beliau berkata pasukan Kelantan dan Selangor yang layak beraksi dalam saingan Piala AFC tahun ini diberi tempoh sehingga 26 Januari depan untuk mendaftar tambahan dua lagi pemain import. - BERNAMA

Liga Malaysia, FAM, Piala AFC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Kejuaraan

Artikel Lain