suria

PFA Nafi Dua Pemain Import Dilari Ejen Ke Negara Lain

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) pada Jumaat menafikan dakwaan bahawa dua pemain import baharu mereka telah dilarikan oleh ejen pemain berkenaan ke negara lain.

Sebaliknya, Setiausaha Kehormat PFA Dr Ammar Hassan berkata kedua-dua pemain berkenaan iaitu Emmanuel Okine dari Ghana dan Zakaria Charara dari Lubnan yang dibawa dari Kelantan, sedang menjalani latihan di bawah bimbingan bekas pengendali pasukan T-Team, Yunus Aliff bagi menghadapi Liga Perdana musim depan.

"Ini semua kesilapan teknikal kerana kita telah pun menyerahkan nama kedua-dua pemain berkenaan kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain import pada 6 Disember lepas.

"Sebelum ini, saya ada mendengar desas-desus bahawa ejen mereka telah mengadakan rundingan dengan salah sebuah kelab di Thailand namun saya difahamkan mereka gagal mencari kata sepakat," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media di Wisma FAM pada Khamis, dilaporkan berkata bahawa pasukan 'Singa Utara' itu gagal mendaftarkan dua pemain import untuk saingan Liga Perdana musim depan kerana mendakwa mereka telah dilarikan oleh ejen terbabit ke negara lain.

Mengulas lanjut, Ammar berkata PFA telah mengikat kontrak selama setahun dengan kedua-dua pemain berkenaan sehingga penghujung tahun depan.

Mengenai sasaran pasukan berkenaan dalam Liga Perdana musim depan, Ammar berkata pengurusan pasukan hanya meletakkan sasaran untuk memastikan mereka kekal bersaing dalm liga yang sama sehingga musim 2014.

"Sekiranya kita berjaya melayakkan diri ke Liga Super pada 2014, ia adalah satu bonus kepada pengurusan pasukan. Saya bagaimanapun yakin dengan barisan pemain serta jurulatih baharu, pasukan Perlis mampu memberi saingan hebat dalam Liga Perdana musim depan," katanya.

Perlis sebelum ini diturunkan ke Liga FAM pada musim depan selepas menduduki tangga ke-11 daripada 12 pasukan dalam Liga Perdana musim ini.

FAM, bagaimanapun memutuskan untuk mengekalkan pasukan itu dalam saingan Liga Perdana musim ini selepas beberapa kelab mengambil keputusan menarik diri kerana dikatakan berdepan dengan masalah kewangan. - BERNAMA

PFA, Liga Perdana, FAM

Artikel Sebelum

Sunderland Buru Khidmat Cahill

Artikel Berikut

Artikel Lain