suria

Hoki: Malaysia Terikat Seri 3-3 Dengan Pakistan

KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 dengan Pakistan sekalipun pada satu ketika mendahului 2-1 pada perlawanan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Al Rayyan, Doha, Qatar yang berlangsung lewat hari Ahad.

Anak didik Paul Revington itu sebelum ini meraih dua kemenangan selepas membenam Jepun dan Oman dengan keputusan 4-1 masing-masing.

Mohd Fitri Saari membuka jaringan Malaysia pada minit ke-20, menurut laman sesawang www.malaysianhockey.blogspot.com.

Beberapa minit kemudian Samir Al Shibi menyamakan kedudukan bagi Pakistan yang merupakan naib juara tahun lepas, sebelum Malaysia sekali lagi mendahului menerusi jaringan Mohd Faizal Saari pada minit ke-43.

Pakistan menyamakan kedudukan dengan pukulan sudut menerusi Rashid Mehmood sebelum jaringan Muhd Waqas Sharif meletakkan Pakistan di hadapan.

Malaysia berjaya mengikat kedudukan menerusi jaringan kedua Mohd Faisal, dua minit sebelum wisel tamat perlawanan ditiup, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata masing-masing.

Malaysia akan bertemu China hari ini sebelum mengakhiri perlawanan menentang juara bertahan India pada Rabu.

Dalam perlawanan terdahulu India membelasah Oman 11-0, manakala China menundukkan Jepun 4-2.

Malaysia mengetepikan cabaran Jepun 1-0 untuk meraih gangsa pada edisi pertama di Ordos, China tahun lepas.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain